Tingkat persediaan hadapi peralihan monsun
Datuk Bandar MBSJ, Datuk Johary Anuar berkata, beberapa persediaan dilakukan termasuk penambahan tiga bot penyelamat yang memenuhi spesifikasi operasi menyelamat serta tahan lasak.
Menurutnya, penyelenggaraan aset-aset Pasukan Pantas MBSJ juga dilaksanakan secara berkala selain mengadakan kursus dan latihan kepada anggota pasukan itu bagi meningkatkan kecekapan anggota.
"Selain itu, MBSJ juga membuat pemantauan dan penyelenggaraan di kawasan 'hotspot' berisiko tanah runtuh, banjir dan pokok tumbang serta meningkatkan sistem amaran paras air di empat lokasi.
"Empat lokasi terbabit adalah di kawasan IOI Puchong, USJ 8, USJ 13 dan Taman Paik Siong dan MBSJ dalam proses menambah sistem amaran paras air di 10 lagi lokasi," katanya pada Khamis.
Dalam pada itu, beliau berkata, MBSJ mewujudkan sistem komunikasi menerusi kumpulan WhatsApp dengan semua majlis perwakilan penduduk, ahli majlis, penghulu, ketua kampung serta agensi-agensi berkaitan.
"Kumpulan WhatsApp ini adalah untuk menyalurkan maklumat terkini bencana," katanya.
Tambahnya, MBSJ turut menyediakan 18 dewan dan 70 balai masyarakat yang boleh dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara sekiranya berlaku sebarang bencana.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!