Kane mahu pecah rekod jaringan legenda Wayne Rooney
PENYERANG sensasi England, Harry Kane bertekad memecahkan rekod jaringan sepanjang zaman milik legenda The Three Lions, Wayne Rooney bermula dengan perlawanan persahabatan menentang Switzerland dan Ivory Coast hujung bulan ini.
"Ya, saya mahu bermain sebanyak mungkin perlawanan bersama pasukan England. Malah saya juga sudah bersedia menggalas cabaran sekiranya diperlukan pasukan pada masa depan.
"Saya pada masa sama juga teruja ingin memecahkan rekod jaringan Rooney. Mudah-mudahan dengan perlawanan yang akan pasukan lalui dalam tahun ini, selain bantuan dan kerjasama rakan sepasukan ia akan berjaya direalisasikan.
"Sesungguhnya saya berada pada tahap prestasi dan tempat yang sangat baik pada masa ini untuk melakar rekod itu," kata kapten England yang juga tonggak Tottenham Hotspur tersebut.
Rooney yang kini mengendalikan kelab Liga Kejuaraan, Derby County sebelum itu memahat status penjaring terbanyak sepanjang zaman ketika menyarung jersi The Three Lions.
Rooney mencetak 53 gol sepanjang penampilan peringkat antarabangsa bersama England, diikuti legenda Sir Bobby Charlton yang mencatatkan 50 gol.
Kane pula yang tampil dengan tujuh gol dalam dua perlawanan sebelum itu pada ketika ini berada di kedudukan ketiga senarai kurang lima gol di belakang bekas pemain produk akademi Everton tersebut.
Untuk rekod, Kane juga memiliki 67 penampilan bersama England berbanding 120 yang dimiliki Rooney.
The Three Lions kendalian Gareth Southgate akan mengharungi dua perlawanan persahabatan bulan ini menentang Switzerland (27 Mac) dan Ivory Coast (30 Mac) di Stadium Wembley.
Perlawanan persahabatan itu penting kepada Southgate bagi menambah baik pasukan sebelum temasya terbesar bola sepak dunia Qatar 2022 bermula hujung tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!