PH tidak junjung semangat MoU kerajaan, pembangkang: Annuar
KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) tidak menjunjung semangat Memorandum Persefahaman (MoU) antara kerajaan dan pembangkang apabila meminta undi belah bahagian dijalankan bagi usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), di Dewan Rakyat pada Rabu.
Menteri Komunikasi dan Multimedia (MenKOMM), Tan Sri Annuar Musa berkata, semangat dan tujuan MoU berkenaan adalah jelas bertujuan untuk kestabilan dan keharmonian pentadbiran serta memberi sokongan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam menguruskan pemulihan negara.
“Ia juga untuk mengurangkan ‘politiking’ dan kita tumpu kepada kepentingan rakyat,” katanya menerusi catatan di Facebook pada Khamis
Sebagai seorang daripada lapan anggota Jawatankuasa Perundingan MoU, Annuar turut meminta penjelasan daripada Setiausaha Agung DAP yang juga Ahli Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook berhubung tindakan PH yang secara tiba-tiba meminta usul diundi secara belah bahagian.
“Kenapa PH, begitu nekad untuk menewaskan undi kerajaan sehingga sanggup menolak undi empat orang MP (Ahli Parlimen) Barisan Nasional (BN) yang sudah berada dalam dewan semasa undian masih lagi berjalan?” katanya.
Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, PH seharusnya meminta untuk perkara itu dirunding sekiranya tidak setuju dengan usul yang bertujuan untuk menyambung tempoh pemakaian seksyen tertentu itu.Beliau berkata justeru itu, PH perlu bertanggungjawab sekiranya MoU berkenaan terbatal.
“Seperti yang sudah saya tegaskan, BN tidak gentar untuk menghadapi PH dalam PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15). PAU (Perhimpunan Agung UMNO) yang baru berlalu telah pun membuat ketetapan berkaitan PRU15 dan kami ahli parti yang setia mendukung sepenuhnya ketetapan itu,” katanya.
Usul lanjutan penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 bagi tempoh lima tahun lagi, tidak diluluskan Dewan Rakyat pada Khamis.
Usul yang dibentang Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin itu tidak diluluskan setelah melalui undi belah bahagian yang menyaksikan 84 Ahli Parlimen bersetuju manakala 86 lagi tidak bersetuju.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun ketika mengumumkan keputusan undi itu berkata, seramai 50 Ahli Parlimen tidak hadir. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!