KIWF sasar 10,000 peserta sertai Majlis Ilmu Khadijah 3.0
SHAH ALAM - Yayasan Wakaf Antarabangsa Khadijah (KIWF) menyasarkan seramai 10,000 peserta menyertai Majlis Ilmu Khadijah 3.0 edisi Ramadan yang akan berlangsung mulai 1 April sehingga 28 April depan.
Pengerusi KIWF, Rohani Mohd Shahir berkata, program berkonsepkan webinar itu akan mengenakan harga tiket serendah RM100 kepada peserta untuk mengikuti majlis ilmu tersebut yang akan bersiaran di platform Give2Enrich.com.
"Peserta akan mengikuti program webinar bersama empat asatizah iaitu Isfadiah Mohd Dasuki, Sholihah Kaswari, Prof Madya Dr Ahmad Sanusi Azmi dan Fazrul Fahmee Ismail dengan setiap penceramah akan bersiaran selama tujuh hari.
"Tema majlis ilmu sambil beramal juga diteruskan dengan agihan 12,000 pek iftar ke tujuh lokasi. Peserta boleh turut menyumbang melalui pakej combo untuk majlis ilmu dan pek iftar yang berharga RM250," katanya dalam ucapan sempena majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama rakan strategik di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS) Raja Tun Uda di sini pada Khamis.
Dalam majlis tersebut, KIWF telah memeterai MoU bersama Persatuan Institusi Kewangan Pembangunan Malaysia (ADFIM), PPAS ; Akademi Asri Ahmad (AAA), Persatuan Pengurusan Kewangan dan Harta Islam Malaysia (AIFIWM), LunaStella AIA Agency dan Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) sebagai rakan strategik untuk Majlis Ilmu Khadijah 3.0 tersebut.
Turut hadir, isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.
Mengulas lanjut, Rohani berkata, zakat juga akan dikeluarkan ke atas jumlah bersih kutipan tiket serta tajaan yang diterima nanti.
"Manakala, 70 peratus daripada lebihan dana akan disalurkan untuk pembelian rumah transit kedua buat keluarga kanak-kanak kanser," katanya.
Selain MoU untuk Majlis Ilmu Khadijah 3.0 tersebut, turut diadakan MoU bersama rakan strategik untuk Khadijah Icon Achievement Award yang akan diadakan pada 13 Ogos.
"Rakan strategik yang terlibat ialah Institute of Islamic Banking and Finance (IIBF), Dewan Perniagaan Wanita Islam Malaysia (Dewi), Wanita Industri Binaan Malaysia (WIBM), Peniagawati, Innovation and Technology Managers Association (ITMA) dan ADFIM.
"KIWF dan rakan strategik akan menilai pencalonan dan memberi penghormatan kepada sembilan wanita dalam kategori kewangan islam dan keusahawanan serta dalam bidang sains," katanya.
Selain itu, KIWF turut memeterai MoU untuk Global Waqf Rainforest Economic Gateway bersama Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan ITMA.
Rohani berkata, program tersebut bertujuan untuk mewujudkan satu konsortium dalam kalangan agensi kerajaan dan pihak universiti untuk membangun dana bagi tujuan mengkomersialkan penemuan saintis.
"Ia termasuk dalam bidang teknologi, pertanian dan kosmetik sebagai pencetus ekonomi negara pasca Covid-19," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!