Cukai: MOTAC bincang dengan OTA untuk daftar
KUALA LUMPUR - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) mengadakan perbincangan bersama agensi pelancongan dalam talian (OTA) yang beroperasi di luar negara untuk mendaftar di bawah Syarikat Perniagaan Pengendalian Agensi Pelancongan dan Agensi Pengembaraan (TOBTAB) bagi memudahkan urusan cukai terhadap syarikat terlibat.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, kebanyakan agensi yang beroperasi di luar negara itu tidak mempunyai premis atau pejabat di Malaysia, sekali gus menyukarkan MOTAC mengambil tindakan undang-undang dan penguatkuasaan.
"Kebanyakan syarikat dalam talian (online) tidak berdaftar dengan kita. Kita (sedang) berusaha untuk berbincang dengan mereka, malah ada yang sudah daftar kerana mereka diminta untuk mewujudkan premis fizikal di Malaysia.
"Kita memang menggalakkan mereka berdaftar supaya dapat dikenakan cukai," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (PH-Hulu Langat) mengenai cukai yang boleh dikenakan terhadap syarikat pelancongan dalam talian yang menawarkan pakej pelancongan di Malaysia, namun beroperasi di luar negara.
Mengulas lanjut Nancy berkata, garis panduan TOBTAB dibangunkan bertujuan untuk melesenkan syarikat yang menawarkan pakej pelancongan Malaysia secara dalam talian.
Katanya, ia merupakan langkah awal kementerian itu dalam usaha mengukuhkan kawal selia aktiviti penawaran pakej pelancongan secara dalam talian.
”MOTAC telah mengadakan libat urus bersama beberapa agensi pelancongan dalam talian antarabangsa yang menawarkan pakej tempatan untuk mematuhi Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) dan berdaftar untuk beroperasi dengan memiliki lesen TOBTAB.
"Hasilnya, terdapat OTA syarikat-syarikat asing telah membuka anak syarikat di negara ini dan dilesenkan oleh MOTAC seperti Klook Travel Technology Sdn Bhd, Traveloka Sdn Bhd dan BEX Travel Malaysia Sdn Bhd," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!