Orang kenamaan sasaran menyamar rakan mahu pinjam wang

Ahli politik dan orang kenamaan antara sasaran utama sindiket penipuan yang menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar rakan untuk meminjam wang. - Gambar hiasan
Ahli politik dan orang kenamaan antara sasaran utama sindiket penipuan yang menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar rakan untuk meminjam wang. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli politik, orang kenamaan dan pegawai tinggi kerajaan antara sasaran utama sindiket penipuan yang menggodam aplikasi Telegram dan WhatsApp sebelum menyamar rakan untuk meminjam wang.

Modus operandi sindiket itu adalah meminta pertolongan untuk meminjam wang daripada senarai rakan yang terdapat di aplikasi terbabit.

Sindiket itu didapati menggodam aplikasi berkenaan sebelum menghubungi mangsa secara rawak.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, sebanyak 1,710 laporan diterima pihaknya membabitkan kegiatan itu melibatkan kerugian RM11.47 juta sejak 2020 sehingga Februari lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 823 kes dilaporkan berlaku pada 2020 dengan kerugian RM6.19 juta, diikuti 2021 iaitu 778 kes dengan nilai penipuan RM4.8 juta," katanya ketika sidang akhbar di sini pada Khamis.

Mohd Kamarudin berkata, sebanyak 109 kes dilaporkan dengan nilai kerugian RM478,016 pada tahun ini.

"Kebanyakan mangsa tidak menyedari akaun mereka digodam sehingga kenalan di dalam senarai telefon bimbit mereka memaklumkan ada menerima mesej untuk meminjam wang,” katanya.

Menurutnya, pengguna telefon pintar dinasihatkan untuk lebih berhati-hati apabila menerima mesej daripada individu tidak dikenali yang meminta kata laluan untuk aplikasi berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Kata laluan itu digunakan untuk mengambil alih akaun aplikasi pesanan daripada mangsa seterusnya akan menggunakan modus operandi menyamar sebagai individu berkenaan untuk memperdaya rakannya.

"Orang ramai juga dinasihatkan mengaktifkan dua langkah pengesahan di aplikasi yang digunakan bagi mengelak aplikasi pesanan digodam sindiket," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!