Gagal seludup pod, cecair vape lebih setengah juta ringgit

Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan pod, cecair vape lebih setengah juta ringgit yang dirampas oleh pihaknya. - Foto PPM
Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor menunjukkan pod, cecair vape lebih setengah juta ringgit yang dirampas oleh pihaknya. - Foto PPM
A
A
A

TUMPAT - Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga Pengkalan Kubor berjaya mematahkan cubaan menyeludup pod, cecair vape yang dianggarkan bernilai RM519,300 di sebuah premis kedai kosong di Kampung Simpangan di sini pada Rabu.

Serbuan dilakukan dalam penugasan sempena Op Landai /Op Kontraban pada jam 5 petang.

Komander PPM Wilayah Tiga, Asisten Komisioner Norzaid Muhammad Said berkata, menerima maklumat awam berkait kegiatan penyeludupan peralatan rokok elektronik tersebut dari Malaysia ke Thailand.

“Apabila anggota serbuan sampai di premis tersebut mendapati pintu tidak berkunci dan tidak berpenghuni.

“Hasil pemeriksaan di dalam premis menjumpai barangan 1,209 unit pod vape, 234 unit peralatan aksesori pod vape, 23,397 unit dan 422 botol cecair vape serta 750 karton rokok keseluruhan dianggarkan bernilai RM519,300,” katanya dalam satu kenyataan kepada akhbar di sini pada Khamis.

Beliau berkata, barang yang ditemui dipercayai untuk diseludup ke negara jiran Thailand dan premis itu dijadikan sebagai stor simpanan sementara atau transit barangan itu.

“Setelah menunggu hampir sejam, tidak ada sesiapa yang tampil mengaku sebagai pemilik kepada barang itu.

“Pasukan merampas kesemua barangan itu serta dibawa balik ke Markas Operasi PPM Wilayah Tiga Pengkalan Kubor kemudian membuat laporan polis dan tindakan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, semua pod vape akan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan disiasat mengikut Seksyen 135(1) Akta Kastam 1967 manakala botol berisi cecair vape pula akan diserah kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk siasatan menerusi Seksyen 13(a) Akta Racun 1952.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!