Usul Sosma gagal: PM tidak hilang kepercayaan

Anthony Loke
Anthony Loke
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kegagalan Dewan Rakyat meluluskan usul melanjutkan tempoh pelaksanaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma) pada Rabu tidak mencerminkan hilang kepercayaan terhadap pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke berkata, isu Sosma tidak dirunding antara kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) ketika memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik pada September tahun lalu.

"Tetapi adakah bermaksud usul Sosma itu ditolak, maka Yang Berhormat Bera (Ismail Sabri) hilang kepercayaan? Jawapannya tidak.

"Obligasi kita ialah meluluskan Belanjawan 2022 yang kita telah panggil belah bahagian sepanjang perbahasan tahun lepas.

"Kalau sekarang siapa-siapa pertikaikan atau ada persoalan bahawa Bera sudah hilang kepercayaan, bawalah satu usul kepercayaan, kita akan berkecuali dan pasti usul kepercayaan itu diluluskan. Jadi soal usul kepercayaan itu tidak timbul sama sekali," katanya ketika membahas Rang Undang-undang Perlembagaan (Pindaan) 2022 di Dewan Rakyat pada Khamis.

Sinar Harian pada Rabu melaporkan, usul bagi melanjutkan pelaksanaan Sosma berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan tidak mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen pembangkang.

Mengulas lanjut Anthony berkata, kegagalan meluluskan usul tersebut dilihat berpunca daripada ahli Parlimen dari blok kerajaan yang tidak hadir untuk menyertai undian belah bahagi.

"Semalam (Rabu) saya tidak jangka kerajaan akan gagal dalam usul tersebut kerana kerajaan tidak hilang majoriti.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan ada 114 atau 115 Ahli Parlimen, (namun) yang hadir hanya 84 orang (dan), kita (blok pembangkang) 86. Ada 30 yang tak hadir.

"Jadi yang gagalkan usul tersebut adalah dalam 30 ahli Parlimen dari blok kerajaan yang tidak hadir, termasuk Pekan (Datuk Seri Najib Razak), Bagan Datuk (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Pontian (Datuk Seri Ahmad Maslan) dan sebagainya. Yang hadir saya tengok Padang Rengas (Datuk Seri Nazri Aziz) yang pertahankan kerajaan dan Jempol (Datuk Seri Salim Sharif)," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!