Terengganu harap baki hutang kerajaan secara tunai

Ahmad Samsuri
Ahmad Samsuri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan Terengganu berhasrat untuk mendapatkan bayaran balik baki hutang daripada kerajaan Persekutuan dalam bentuk tunai dan bukannya melalui pembangunan projek-projek di negeri itu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah keseluruhan tuntutan balik hutang daripada kerajaan pusat bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) itu adalah sebanyak RM1.85 bilion.

Katanya, bayaran balik yang telah dilunaskan adalah sebanyak RM418.5 juta dalam bentuk projek iaitu Jalan FT3 Awana Kijal bernilai RM118.5 juta dan Projek Perumahan Mampu Milik (RM100 juta) dan pendahuluan tunai (RM200 juta).

"Jumlah yang masih berbaki adalah sebanyak RM1.43 bilion, pihak kerajaan telah melakukan beberapa kali sesi perbincangan dan perundingan, termasuklah jawapan daripada kementerian pada Oktober tahun lalu, yang saya kategorikan sebagai 'tidak produktif'.

"(Tapi) kini sudah ada petanda yang lebih positif, di mana perbincangan antara Menteri Kewangan dan saya untuk penyediaan Kertas Kabinet mengenai isu Hutang LPT2 akan diadakan pada 28 Mac nanti di Putrajaya," katanya pada sesi penggulungan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Ahmad Samsuri berharap agar keputusan yang terbaik untuk Terengganu akan dapat dicapai selepas pertemuan itu.

Sementara itu, pada sesi penggulungan tersebut juga beliau turut mengambil kesempatan untuk merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah membantu rakyat Terengganu semasa berhadapan dengan bencana banjir baru-baru ini.

"Musibah yang tidak kita jangka, banjir besar yang luar biasa. Terima kasih terutamanya kepada semua termasuk Perdana Menteri yang telah melakukan lawatan singkat (ke daerah Hulu Terengganu) pada 2 Mac yang lalu.

"Semoga Allah membalas jasa baik tuan-tuan dengan ganjaran yang berlipat kali ganda," katanya sambil meminta semua ahli dewan berdiri dan memberikan tepukan sebagai tanda penghargaan dari Terengganu.

Artikel Berkaitan:

Sidang DUN Terengganu ditangguhkan sehingga ke tarikh yang akan ditentukan kelak. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!