Latihan bilateral tingkat kemampuan anggota TDM
MELAKA - Kepakaran dan kemampuan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam menghadapi ancaman biologi, radiasi, nuklear dan bahan letupan (CBRNe) sebagai senjata sentiasa dipertingkatkan, memandangkan corak peperangan kini tidak terhad kepada peperangan secara konvensional.
Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Seri Mohammad Ab Rahman berkata, ini termasuklah pelaksanaan program latihan bilateral secara berterusan dengan negara luar seperti Angkatan Tentera Kanada (ATK).
"Konsep peperangan masa kini tidak hanya melibatkan peperangan konvensional, malah meliputi ancaman pengganas dan penggunaan ejen CBRNe sebagai senjata yang semakin meluas.
"Latihan-latihan khusus ini telah berjaya mensiapsiagakan anggota kita dan Eksesais Mantis ini merupakan medium terbaik untuk menguji kompetensi anggota dalam menangani ancaman pengganas tersebut," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis penutup Eksesais Mantis Siri 8/2022 di Padang Pavillion, Kem Terendak di sini.
Katanya, selain mempelajari taktik, teknik dan prosedur menangani ancaman keganasan CBRNe, peserta latihan juga didedahkan kepada perkembangan teknologi terkini menerusi penggunaan peralatan canggih."Menerusi ini juga, hubungan bilateral dengan Kanada berkaitan pertahanan dan keselamatan semakin mantap, malah tempoh bagi pelaksanaan latihan bilateral Mantis ini telah disambung hingga 2024," katanya.
Eksesais Mantis Siri 8/2022 itu melibatkan pasukan daripada 12 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) CBRNe dan Angkatan Tentera Kanada (ATK), yang bermula 25 Jan lepas hingga hari ini.
Sepanjang lapan minggu tersebut, latihan dalam pelbagai senario telah dilaksanakan termasuklah di tiga lokasi iaitu Pelabuhan Kuala Linggi, Melaka, Lapangan Terbang Batu Berendam, Melaka dan Stesen MRT Cochrane, Kuala Lumpur.
Pada majlis hari ini, pihak TDM turut menunjukkan demonstrasi rampasan bas persiaran oleh pengganas yang menggunakan keupayaan persenjataan kimia dan melibatkan orang awam sebagai tebusan. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!