Penuntut warga Jepun didenda RM2,000 buat laporan polis palsu dirogol
PETALING JAYA - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang penuntut kolej swasta warga Jepun membuat laporan polis palsu kononnya disamun dan dirogol lima lelaki warga Afrika mengundang padah apabila didenda maksimum RM2,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Khamis.
Ageha Matsuzaki, 20, dikenakan hukuman itu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibaca dalam bahasa Inggeris di hadapan Majistret Muhammad Iskandar Zainol.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda tersebut. Ageha membayar denda berkenaan.
Dalam pada itu, sebelum menjatuhi hukuman, majistret Muhammad Iskandar menegur tindakan tertuduh.
"Apabila kamu buat laporan menyatakan kamu dirogol, sedangkan ia adalah laporan palsu, ia bukan satu kesalahan kecil tetapi sangat serius.
"Kamu perlu tahu, dakwaan kamu sangat berat, namun mahkamah perlu mengambil kira kamu adalah seorang pelajar dan baru mencecah usia 20 tahun, maka mahkamah menjatuhi hukuman denda maksimum," katanya.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa telah memberikan maklumat secara bertulis yang tertuduh mengetahui ia adalah palsu sehingga menyebabkan pegawai penyiasat polis melakukan siasatan, di Balai Polis Seri Kembangan pada jam 12.30 tengah hari, 2 Februari lalu.
Dia didakwa mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit keselahan.
Mengikut fakta kes, tertuduh mendakwa ketika berjalan di hadapan sebuah pangsapuri pada jam 8 malam, 1 Februari lalu, dia telah didatangi sebuah kereta dari arah belakang.
Ageha mengatakan lima lelaki warga Afrika kemudian memaksanya untuk mengikut mereka dengan salah seorang daripadanya mengacukan pisau.
Dia juga mendakwa telah dipukul pada kepala dan dirogol secara bergilir-gilir.
Semasa prosiding, peguam Mustaqeem Aziz yang mewakili tertuduh, merayu anak guamnya dikenakan hukuman ringan kerana kejadian itu telah memberi pengajaran kepadanya termasuk keluarga di Jepun.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Wafi Husain memohon mahkamah mengenakan hukuman berat kerana perbuatan tertuduh menyusahkan pelbagai pihak terutama pihak polis.
"Tindakannya telah membazirkan masa pihak polis yang mana selepas dua minggu kes itu disiasat, dia akhirnya mengaku telah membuat laporan palsu," katanya.
Pada Rabu, media melaporkan seorang wanita membuat laporan, mendakwa dia disamun dan dirogol secara bergilir-gilir oleh lima lelaki warga Afrika.
Bagaimanapun, selepas pegawai penyiasat menjalankan siasatan dan hasil laporan doktor perubatan menunjukkan tiada kesan rogol berlaku terhadapnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!