APM Pulau Pinang akan wujudkan lebih banyak CDERT beri bantuan awal

Ishak (tengah) memotong kek majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-70 di Butterworth pada Khamis.
Ishak (tengah) memotong kek majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-70 di Butterworth pada Khamis.
A
A
A

BUTTERWORTH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang akan mewujudkan lebih banyak Pasukan Tindakbalas Kecemasan Pertahanan Awam (CDERT) di negeri ini bagi memberi bantuan awal.

Pengarahnya, Leftenan Kolonel (PA), Ishak Mohd Radzi berkata, CDERT yang dianggotai oleh penduduk setempat dilihat penting sebagai pasukan yang akan memberikan bantuan awal sebelum pasukan penyelamat tiba di kawasan bencana.

Menurutnya, anggota CDERT lebih arif dengan kawasan tempatan dan akan membantu melancarkan lagi usaha penyelamatan sekiranya berlaku kes kecemasan.

"Setakat ini di Pulau Pinang terdapat 38 pasukan CDERT yang ditubuhkan dan kita berhasrat untuk memperbanyakan lagi kumpulan sukarelawan ini di setiap parlimen dan kawasan Dewan Undangan Negeri pada masa akan datang.

"Melalui CDERT masyarakat secara tidak langsung dapat memberi kesedaran kepada komuniti mengenai ilmu pengurusan bencana ketika kecemasan," katanya selepas menghadiri majlis sambutan Hari Ulang Tahun Pertahanan Awam (HUTPA) kali ke-70 di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Ishak turut mengingatkan anggota APM agar terus menjaga integriti serta nama baik pasukan ketika menjalankan tugas.

Jelasnya, setiap anggota yang berkhidmat mencerminkan imej pentadbiran pasukan penguatkuasaan.

"Anggota kadangkala tidak terlepas daripada kecaman malah turut tercalar dengan isu-isu semasa yang berlaku baru-baru ini.

Artikel Berkaitan:

“Bagaimanapun, kita tidak boleh patah semangat dan perlu teruskan perjuangan. Jangan jadikan ia masalah yang membuatkan kita kecundang, tak perlulah berlawan atau berdebat secara terbuka.

“Biar kita buat kerja, tunjukkan keberadaan kita kepada masyarakat dan kemudian biar masyarakat yang menilai,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!