Terengganu rekod 301 kes jenayah komersial

Rohaimi - Foto Bernama
Rohaimi - Foto Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu merekodkan sebanyak 301 kes jenayah komersial dengan nilai kerugian hampir RM7 juta di negeri itu sejak Januari hingga Mac tahun ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Rohaimi Md Isa berkata, ia menunjukkan peningkatan kes sebanyak 32 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas iaitu 228 kes, dengan jumlah kerugian sebanyak RM6.6 juta.

Beliau berkata, jenayah komersial di negeri ini dilihat semakin membimbangkan kerana menunjukkan peningkatan kes setiap tahun dan aktiviti penipuan dalam talian seperti Macau Scam, e-belian, Love Scam dan e-pelaburan adalah penyumbang terbesar kepada statistik tersebut.

"Sebagai contoh, dalam tempoh tiga bulan ini sahaja telah berlaku tiga kes penipuan Macau Scam yang melibatkan kerugian hampir RM1.5 juta.

"Mangsa pertama seorang guru wanita mengalami kerugian RM736,000, mangsa kedua iaitu pesara wanita rugi RM532,000, manakala yang ketiga seorang pesara lelaki lesap RM200,000 dalam sekelip mata," katanya selepas meninjau Kempen Pencegahan Jenayah Komersial di Pasar Payang di sini pada Khamis.

Sehubungan itu, Rohaimi berkata, beliau telah mengarahkan pasukannya supaya melipatgandakan usaha pencegahan melalui ceramah serta kempen kesedaran kepada golongan sasar agar tidak terjebak dengan penipuan seumpama itu.

"Tahun ini, saya mahu pastikan semua institut pengajian tinggi (IPT) diberi ceramah atau taklimat mengenai kesedaran terhadap penipuan sebegini, selain itu ceramah di masjid-masjid, tempat tumpuan awam dan pusat beli-belah juga perlu bagi menyedarkan masyarakat agar tidak terperangkap," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!