Bank wanita pertama menjelang 2025
KOPERASI Wanita Malaysia Berhad (WCB) menyasarkan untuk menjadi sebuah bank wanita pertama di Malaysia menjelang tahun 2025.
Namun begitu, Pengerusi WCB, Datin Norli Alias bersama barisan ahli lembaganya menyasarkan untuk mewujudkan bank tersebut dalam tempoh 12 bulan.
Menurutnya, koperasi tersebut memfokuskan kepada hala tuju memastikan kemampanan perniagaan dan produk keusahawanan golongan wanita.
"WCB bukan nak lahirkan wanita berniaga, tapi kami mempunyai hala tuju untuk memastikan kemapanan perniagaan dan produk keusahawanan.
"Ramai agensi lain memfokuskan kepada kelahiran (usahawan), tapi kita fokus kepada kemapanan, kelestarian perniagaan dan produk usahawan," katanya ketika sidang media Majlis Pelancaran WCB di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, Norli berkata, seramai 1,000 orang ahli menyertai koperasi tersebut sejak ia ditubuhkan pada hujung Februari lalu.
Ujarnya, pihaknya akan bekerjasama dengan Bank Rakyat dengan mengikut semua siri jelajah termasuk di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).
"Antara kriteria untuk menyertai WCB ialah ahli mesti berumur 18 tahun ke atas, ahli kepada koperasi dan membuat caruman bulanan," katanya.
Pada Rabu, Majlis Pelancaran WCB disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar di Menara Kembar Bank Rakyat, di sini.
Majlis tersebut turut menyaksikan upacara menandatangan Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Bank Rakyat bagi mendapat sokongan dalam perlaksanaan Program Pembangunan Keusahawanan Domestik dan Antarabangsa.
MOU tersebut ditandatangani oleh Norli dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan sambil disaksikan oleh Noh.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!