Sukar dapat kontraktor berminat tangkap lembu berkeliaran: Aminuddin
SEREMBAN - Kebanyakan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Negeri Sembilan berhadapan masalah melantik kontraktor untuk melaksanakan penguatkuasaan ternakan berkeliaran seperti lembu yang mengundang risiko kepada pengguna jalan raya.
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, ini kerana PBT sukar mendapatkan kontraktor yang berminat untuk menjalankan tugas menangkap haiwan berkenaan meskipun bayaran dikenakan berpatutan.
"Hampir semua PBT hadapi masalah untuk melantik kontraktor kerana mereka kurang keberanian walaupun bayaran diberi berpatutan," katanya kepada media pada Rabu.
Menurutnya, masalah berkenaan bukanlah perkara baharu dan beberapa tindakan telah diambil selain turut dibincangkan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Ujarnya, ada pemilik lembu yang kurang berpuas hati apabila tindakan diambil, namun semua mendiamkan diri apabila berlaku kemalangan.
"Seperti mana video kemalangan yang berlaku di lebuh raya Seremban baru-baru ini apabila sebuah kereta melanggar seekor lembu.
"Bagaimana haiwan itu boleh ada di lebuh raya dan bagi saya perkara itu perlu diberi perhatian oleh pihak lebuh raya, "katanya.
Sehubungan itu katanya, masyarakat diminta memaklumkan kepada PBT jika ada melihat haiwan ternakan berkeliaran di kawasan tidak sepatutnya supaya tindakan dapat diambil.
Jelas beliau, pemilik haiwan ternakan juga diharap memahami kerana tindakan diambil bukan sekadar suka-suka tetapi demi kebaikan bersama.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!