Padah masuk hotel bawa 'senapang'
KLANG - Gara-gara membawa sepucuk objek menyerupai senapang, lima individu termasuk seorang wanita diberkas di sebuah hotel di Bukit Tinggi di sini pada Khamis.
Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, pihaknya sebelum itu menerima laporan daripada pihak hotel itu mengenai seorang lelaki yang dilihat membawa senjata menyerupai senapang warna hitam ke dalam hotel berkenaan.
"Perbuatan lelaki tersebut disedari oleh salah seorang pengawal keselamatan hotel terbabit menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) sebelum memaklumkan perkara tersebut kepada pihak polis.
"Anggota polis kemudiannya membuat pemeriksaan di sebuah bilik di hotel itu sebelum menemukan senjata menyerupai senapang warna hitam berada di atas meja dan satu peket lut sinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 3.40 gram," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Katanya, lima individu turut diberkas untuk tindakan lanjut.
"Kesemua suspek diberkas terdiri daripada seorang wanita dan empat lelaki warga tempatan berumur lingkungan antara 19 hingga 26 tahun.
"Semakan rekod mendapati tiga daripada lima suspek yang diberkas mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.
Menurutnya, kesemua suspek akan direman untuk siasatan lanjut.
"Polis masih menyiasat tujuan objek menyerupai senapang sama ada bagi tujuan jenayah atau sebaliknya.
"Kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!