MotoGP: SIC sasar lebih 170,000 penonton pada Oktober ini

IMBAS KEMBALI... Perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 November 2019. - Foto AFP
IMBAS KEMBALI... Perlumbaan MotoGP Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada 3 November 2019. - Foto AFP
A
A
A

PENGANJURAN kembali Kejuaraan Dunia Grand Prix Motosikal (MotoGP) pada Oktober ini dijangka mampu menarik kehadiran lebih 170,000 penonton ke Litar Antarabangsa Sepang (SIC).

Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif berkata, sasaran itu disifatkan sebagai munasabah berikutan keputusan kerajaan untuk membuka semula pintu sempadan negara bermula 1 April ini.

“Jumlah itu dijangka meningkat kerana dua tahun lepas ia tidak dapat diadakan namun kini ia kembali dan orang ramai ternanti-nanti untuk MotoGP pada tahun ini, jadi sudah tentu sasaran itu boleh dipenuhi.

“Tambahan pula, SIC dengan kerjasama Petronas dalam usaha mengetengahkan sesuatu kelainan pada penganjuran kali ini untuk memeriahkan lagi serta menarik minat orang ramai untuk hadir," katanya pada sidang media secara maya pada Khamis.

Beliau berkata, antara kelainan tersebut adalah mempertimbangkan untuk memberikan kebenaran kepada kanak-kanak memasuki ruangan 'grandstand' yang sebelum ini hanya untuk golongan dewasa.

“Penganjuran kali ini akan memberi fokus kepada ‘pengalaman peminat’ untuk memberikan kelainan, namun segala ketetapan itu akan dibincangkan kemudian selain mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan sedang dibuat untuk menamakan beberapa pelumba tempatan bagi mengisi slot wild card bagi memeriahkan perlumbaan kali ini.

“SIC memang nak menampilkan pelumba tempatan jadi nama-nama seperti Syarifuddin Azman atau dikenali sebagai Damok serta Hakim Danish Ramli merupakan antara pelumba yang dikenal pasti.

Artikel Berkaitan:

“Namun pengesahan satu slot wild card itu tertakluk kepada keputusan pemegang hak MotoGP, Dorna Sports, untuk memberikannya selain indeks prestasi utama (KPI) telah ditetapkan kepada para pelumba untuk dipenuhi,” katanya.

Beliau berkata, pelumba-pelumba tersebut perlu memenuhi KPI termasuk berjaya menempatkan diri dalam kedudukan podium mahupun berada dalam kelompok 10 teratas dalam kejohanan yang sedang mereka sertai pada masa ini.

SIC pada Rabu memaklumkan pihaknya kekal dalam kalendar kejuaraan MotoGP sehingga 2024 dengan Petronas terus menjadi penaja utama perlumbaan.

Pusingan di Malaysia itu akan dikenali sebagai Grand Prix Petronas Malaysia mulai tahun ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!