14 individu ditahan terlibat penyeludupan kontraban, hidupan liar

Hazani - Foto Bernama
Hazani - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis menahan 14 individu dalam lapan serbuan berasingan di empat negeri dengan nilai rampasan dianggarkan RM10.7 juta kerana disyaki terlibat kegiatan penyeludupan kontraban dan hidupan liar.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman, Datuk Seri Hazani Ghazali berkata, kesemua suspek berumur lingkungan 20-an hingga 50-an yang ditahan pada 26 Februari hingga 22 Mac lepas terdiri daripada 12 lelaki dan seorang wanita tempatan serta seorang lelaki warga Sri Lanka di sekitar Selangor, Pahang, Sabah dan di ibu negara.

Beliau berkata, serbuan pertama dan kedua di Klang dan Kajang, pihaknya merampas sebanyak 983,160 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM1.3 juta dan seorang lelaki tempatan turut ditahan.

"Seorang lelaki tempatan ditahan dalam serbuan ketiga di Subang Jaya, di sini dan polis merampas tiga ekor monyet marmoset dan 70 ekor burung pelbagai jenis di kedai milik suspek yang berdekatan dengan rumahnya turut dirampas dengan jumlah rampasan dianggarkan bernilai RM260,000.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716),” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Susulan penahanan lelaki itu, Hazani berkata, pihaknya menahan seorang wanita tempatan dan merampas dua ekor monyet jenis blue monkey dan tiga ekor kucing batu di Sri Kembangan, di sini, dengan jumlah rampasan dianggar bernilai RM240,000 serta kes disiasat di bawah seksyen yang sama.

Hazani berkata, dalam serbuan kelima, polis menahan seorang lelaki tempatan dan seorang lelaki warga Sri Lanka di Kepong dan merampas minuman keras jenis bir sebanyak 10,973.6 liter dan minuman keras jenis ‘liquor’ sebanyak 1,306.88 liter yang dianggarkan bernilai RM465,845.

"Turut dirampas sebuah kenderaan dan jumlah keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM736,658 dan kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Beliau berkata, dalam serbuan keenam pihaknya merampas 800,000 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggar bernilai RM1.5 juta di Puchong dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dua lelaki tempatan telah ditahan kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan dan pengedaran rokok dan selain itu, polis turut merampas sejumlah 569,880 batang rokok seludup pelbagai jenama dianggarkan bernilai RM936,742.40 serta sebuah kenderaan di Temerloh, Pahang.

Katanya, serbuan terakhir di Semporna, Sabah membabitkan penahanan tujuh lelaki tempatan kerana disyaki terlibat penyeludupan minyak petrol dan polis turut merampas sejumlah 60,200 liter minyak petrol, dua buah kapal tangki minyak, sebuah kapal tunda dan sebuah lori tangki minyak yang dianggarkan bernilai RM5.5 juta dan kes disiasat di bawah Seksyen 20(1) Akta Kawalan Bekalan 1961.

Dalam perkembangan sama, Hazani berkata, berdasarkan statistik keberhasilan pada Januari hingga 22 Mac tahun ini, pihaknya telah melaksanakan 16 serbuan dan menahan 26 individu dengan nilai rampasan melebihi RM 20 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!