Mayat pelatih AMD lemas ketika mandi sungai ditemukan

Laporan Sinar Harian pada Khamis.
Laporan Sinar Harian pada Khamis.
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMAS KINI] Mayat pelatih Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD), Muhammad Saiful Ezzudin Mustafa ditemukan pada petang Khamis selepas lebih 20 jam dilaporkan hilang sejak Rabu.

Ketua Zon 3 Kedah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Penguasa Kanan Bomba II Rahimi Ali berkata, mangsa berusia 14 tahun itu ditemukan dalam penyedut pasir di Sungai Limau kira-kira jam 5.46 petang.

"Mayat mangsa telah ditemukan dalam paip berkenaan oleh penjaga pam di kawasan sungai itu, kira-kira sembilan kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang semalam.

"Kadar kelajuan air ketika operasi mencari mangsa adalah lebih lima kilometer per jam dan paras kedalaman sungai adalah 2.9 kaki,” katanya dalam kenyataan di sini pada Khamis.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat pada Khamis disertai pelbagai agensi termasuk polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, badan bukan kerajaan dan penduduk kampung bermula jam 8 pagi.

"Kaedah pencarian mangsa telah dipecahkan kepada beberapa sektor antaranya menggunakan teknik pencarian di permukaan air dari tempat mangsa dilaporkan hilang hingga Pekan Baling dan selaman oleh Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) di kawasan dikhuatiri mangsa tersangkut.

"Proses pencarian turut menggunakan bot, kayak dan ski jet, pencarian di pesisir tebing sungai, menggunakan khidmat anjing pengesan Unit K9 dan menggunakan jentera berat untuk mengalihkan timbunan buluh yang berada di dalam sungai,” katanya.

Katanya, mayat mangsa telah diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan.

Pada Rabu, Bernama melaporkan seorang remaja dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di Sungai Ketil berdekatan Kampung Padang Temu, Baling, kira-kira jam 1 petang.

Mangsa yang juga pelatih akademi AMD bermain untuk Bawah 14 tahun itu sedang bercuti semester dan berada di kampung halaman dari 19 hingga 27 Mac ini. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!