Apabila amanah diberikan diseleweng...
KERAJAAN dilihat terus konsisten membantu rakyat mendapatkan bekalan minyak masak pada harga stabil dengan menyediakan bekalan minyak masak bersubsidi. Ia dijual di pasaran dalam bentuk paket yang boleh didapati di kedai runcit dan pasar raya utama di Malaysia.
Namun, kerap dilaporkan berlaku penyelewengan minyak masak bersubsidi oleh pihak yang telah diberikan amanah. Ia adalah isu ketirisan yang mengakibatkan kerajaan kerugian ratusan juta ringgit.
Terbaharu pada Rabu, Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Mohd Nizom Sairi mendedahkan sebanyak 63 syarikat dikesan menjalankan kegiatan penyelewengan subsidi minyak masak membabitkan cukai tidak berbayar berjumlah RM200 juta.
Jelas beliau, antara modus operandi penyelewengan subsidi minyak masak itu adalah syarikat berkenaan mendapatkan bekalan bersubsidi daripada syarikat pembekal dengan menggunakan lesen lain untuk dijual pada harga pasaran, selain mengupah pihak ketiga menguruskan pemindahan minyak masak bagi tujuan penjualan ke luar negara dan syarikat menuntut subsidi tetapi tiada sebarang penjualan minyak masak paket.
Ketirisan yang berlaku inilah menyebabkan bekalan minyak masak bersubsidi berkurangan di pasaran dan menjadi keluhan rakyat serta peniaga kecil. Bagi mengelak ketirisan dalam pembekalan barang kawalan tersebut, syarikat pembungkusan minyak masak yang dilantik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna perlulah mematuhi syarat yang ditetapkan. Pastikan ia sampai kepada golongan sasar.
Pada masa sama, pihak-pihak berkenaan perlu merangka strategi lebih komprehensif bagi mengatasi masalah itu. Jika terbukti menyeleweng, gantung lesen mereka dan kuota pengeluaran minyak masak bersubsidi akan diambil alih oleh syarikat lain. Bagi tindakan jangka pendek, perlulah selalu turun padang memantau keadaan.
Apa pun, selagi rasuah menjadi amalan, selagi itulah penyelewengan dan isu ketirisan takkan pernah selesai. Akhirnya nanti, yang menjadi mangsa adalah rakyat, yang merasai keperitannya adalah rakyat dan yang terus menderita adalah rakyat terutama golongan B40. Mereka sukar mendapatkan minyak masak pada harga berpatutan, apatah lagi untuk mendapatkannya di pasaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!