Rakyat akan yakin jika hukuman berat dikenakan kepada perasuah

Mukhriz
Mukhriz
A
A
A

SHAH ALAM - Keyakinan rakyat kepada undang-undang akan lebih menyerlah sekiranya hukuman berat dan efektif dikenakan kepada perasuah yang melakukan rasuah di negara ini.

Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, amalan dua darjat seharusnya tidak ada dalam melaksanakan undang-undang di mana yang hanya diambil tindakan adalah ‘ikan bilis’ tetapi mereka yang dikategorikan sebagai ‘ikan jerung’ terlepas.

“Saya kira tindakan tegas perlu diambil kepada sesiapapun. Tambahan lagi jika seseorang itu memegang jawatan tinggi dalam mana-mana organisasi termasuk di peringkat kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian secara dalam talian dalam Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Penulisan Esei dan Video Pendek Anti Rasuah yang dianjurkan Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) dan Persatuan Sahabat Wanita Prihatin (SWAP) di sini pada Khamis.

Mukhriz yang merupakan Ahli Parlimen Jerlun turut percaya sekiranya perkara itu dapat dilaksanakan, ia akan menimbulkan keyakinan yang tinggi dalam kalangan rakyat terhadap undang-undang di negara ini.

“Kalau itu dapat kita laksanakan, barulah timbul keyakinan tinggi dalam kalangan rakyat bahawa undang-undang yang kita ada ini padan dengan masalah yang kita hadapi dan penguatkuasaan ini berjalan secara berkesan.

“Saya kira itu perlu kita buat dan kita mesti tekankan kepada wakil-wakil kerajaan ini untuk menguatkuasakan undang-undang sedia ada itu sebaik mungkin,” tegasnya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!