Pendidikan menengah remaja perempuan penentu masa depan Afghanistan
KUALA LUMPUR - Semasa mendengar berita Taliban kembali berkuasa di Afghanistan selepas lebih 20 tahun ia ditumbangkan, aktivis pendidikan Sameera Noori menangis semahu-mahunya.
Baginya, selaku wanita, perkhabaran itu bermakna beliau tidak lagi boleh menjalani kehidupannya seperti sebelum ini, dan sebagai pendidik pula, beliau melihat harapan dan impiannya untuk membantu Afghanistan, khususnya gadis remaja, membangun dan berjaya, berkecai.
"Sejak enam bulan lepas, saya terpaksa mewarnakan rambut saya dengan warna seperti uban,” kata wanita berusia 29 tahun itu kepada Bernama semasa ditemui di pejabatnya di Kabul, Afghanistan pada penghujung bulan lepas.
(Bernama berada di negara itu selama seminggu bagi membuat laporan penyerahan bantuan kemanusiaan oleh badan bukan kerajaan dari Malaysia.
"Hingga sekarang saya masih berasa tertekan. Saya sudah kehilangan minat dalam apa juga perkara. Sebelum ini saya ada rancangan, saya ada matlamat... saya merancang untuk buat macam-macam termasuk terbitkan buku. Sekarang saya sudah tidak berminat lagi,” tambahnya.
Perkembangan terkini tentang pendidikan remaja perempuan hanya menambahkan stres pendidik itu.
Pendidikan menengah untuk remaja perempuan yang dihentikan sejak Ogos 2021 - tarikh Taliban mengambil alih kuasa buat kali kedua di Afghanistan - sepatutnya diteruskan semula pada 23 Mac (kelmarin).
Malah, sehari sebelum itu, jurucakap Kementerian Pendidikan mengeluarkan video mengucapkan tahniah kepada mereka yang berkenaan kerana dapat kembali ke sekolah.
Pembukaan semula sekolah buat remaja perempuan itu bermakna lunasnya satu daripada janji-janji yang dibuat oleh Taliban kepada masyarakat antarabangsa termasuk Malaysia.
Namun beberapa jam sebelum pembukaan semula sekolah, kepimpinan Taliban membuat pusingan U apabila mengumumkan pendidikan remaja perempuan dari Gred Tujuh hingga 12 ditangguh sehingga ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Bagaimanapun sekolah menengah di wilayah Herat dan Badghis kekal dibuka kepada semua remaja perempuan setakat ini.
Susulan pengumuman itu, media sosial dibanjiri klip video memaparkan gadis remaja yang menangis kerana mahu ke sekolah.
Pada awalnya kerajaan Afghanistan tidak memberikan sebarang alasan, namun kemudian menyatakan ia bimbang tentang pakaian seragam sekolah dan mahu memastikan pakaian sekolah selaras dengan undang-undang Islam dan budaya Afghanistan, yang disifatkan oleh kebanyakan pihak sebagai satu dalih semata-mata.
Sekalipun ada yang berpandangan isu itu hanya masalah jangka pendek buat sebuah rejim yang belum arif dalam pentadbiran, bagi Sameera tindakan tersebut menunjukkan Taliban tidak boleh dipercayai.
"(Saya) benar-benar tidak tahu apa yang mereka mahukan dan kenapa mereka buat (semua ini),” katanya menerusi WhatsApp kepada Bernama di sini, mengulas perkembangan terbaharu itu.
Tindakan itu yang diambil kira-kira seminggu sebelum persidangan berkaitan pengumpulan dana kemanusiaan berlangsung pada 31 Mac ini, merupakan satu lagi langkah ke belakang rejim tersebut yang mempamerkan tanda-tanda kemungkinan kembali kepada corak pemerintahannya sebelum ini, yang mana ia melarang remaja perempuan bersekolah.
Sejak mengambil alih tampuk kerajaan Aghanistan susulan pengunduran Amerika Syarikat (AS) dan kejatuhan kerajaan Ashraf Ghani yang disokong oleh AS, Taliban terdesak untuk mendapatkan pengiktirafan masyarakat antarabangsa yang akan menamatkan krisis ekonomi dan perbankan yang mereka hadapi sekarang.
Satu daripada syarat pengiktirafan dan bantuan kewangan antarabangsa ialah pendidikan bagi remaja perempuan.
KEPERCAYAAN TRADISIONAL
Aktivis dan wartawan di Afghanistan menghujahkan pembatalan pada saat-saat akhir itu disebabkan pertelagahan dalam Taliban, membabitkan golongan tegar yang mahu mengekalkan cara lama dan kumpulan sederhana yang ingin sekolah dibuka semula kepada remaja perempuan. Sekolah menengah untuk remaja lelaki telah dibuka semula pada September tahun lepas. Universiti pula dibuka pada 26 Februari lalu.
Perbalahan tentang pendidikan sekolah menengah untuk remaja perempuan ini sebenarnya telah berlarutan sejak berdekad lalu.
Semasa pentadbiran kali pertama Taliban, pendidikan wanita adalah isu panas - remaja perempuan dilarang bersekolah mahupun belajar di universiti - selain larangan wanita bekerja dalam kebanyakan bidang pekerjaan. Kali ini, Taliban berjanji mereka akan memerintah dengan lebih baik dan bersederhana termasuk menjamin hak-hak wanita menurut Islam.
Bagaimanapun Taliban mengenakan beberapa sekatan berhubung cara berpakaian golongan hawa, menuntut mereka memakai burka atau berniqab, selain memerlukan muhrim lelaki mengiringi mereka ke luar negara untuk menyambung pendidikan.
Walaupun pendidikan untuk wanita dibenarkan dan digalakkan semasa pentadbiran kerajaan yang disokong oleh AS, sesetengah kelompok masyarakat di negara yang sangat teguh pegangan tradisionalnya dan konservatif ini sememangnya enggan membenarkan remaja perempuan berusia 10 tahun ke atas mendapatkan pendidikan.
Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) menganggarkan sekurang-kurangnya 60 peratus daripada 3.7 juta kanak-kanak di Afghanistan yang pada masa ini tidak bersekolah, adalah perempuan.
Sameera yang merupakan Ketua Pendidikan bagi Citizen’s Organisation for Advocacy and Resilience, berkata ramai ibu bapa menganggap dengan memberikan pendidikan kepada gadis remaja akan menyebabkan mereka tersasar dari landasan Islam.
Sameera mengoperasikan Accelerated Learning Programme (ALP) di Wilayah Ghazni di tenggara Afghanistan. ALP menyasarkan kanak-kanak lelaki dan perempuan berusia 10 tahun ke atas dan memampatkan pendidikan selama empat tahun kepada dua tahun sahaja.
"Semasa saya menjalankan projek ini, penduduk di Ghazni berkata, saya cuba mendidik anak-anak mereka dengan ajaran orang kafir, bahawa saya datang untuk menghasut anak-anak mereka meninggalkan mereka serta mahu saya keluar dari kampung mereka,” katanya, menambah kebanyakan keluarga terbabit mengalah selepas melihat kurikulum pembelajaran yang turut merangkumi pendidikan Islam.
Katanya pemikiran sedemikian adalah perkara biasa dalam kalangan keluarga di sesetengah kawasan, menyaksikan ramai anak gadis tidak bersekolah.
Hasina Sidiqi yang kini berusia 28 tahun antara "mangsa” pemikiran itu. Wanita tersebut yang juga anak yatim dari Jalalabad di Wilayah Nangarhar tidak pernah bersekolah, dan ketika ditanya akan sebabnya, dia memberitahu bapa saudaranya yang merupakan ketua keluarga, berpegang pada prinsip anak perempuan tidak perlu berpendidikan.
"Sebaliknya saya diminta menjaga dua adik lelaki saya,” kongsinya kepada Bernama menerusi penterjemah.
Pada masa ini kedua-dua adiknya, masing-masing berusia 23 dan 20 tahun, menjalani kehidupan yang amat berbeza dengan si abang di penjara manakala si adik pula sedang menuntut di universiti.
Selain faktor sosiobudaya, ada penyebab lain yang menyumbang kepada penutupan sekolah menengah untuk remaja perempuan di Afghanistan, antaranya ialah krisis ekonomi semasa dan kekurangan kemudahan serta guru.
JEJAS KUALITI PENDIDIKAN
Selepas Taliban kembali berkuasa, ramai yang melarikan diri kerana bimbang berulangnya kezaliman yang berlaku semasa kali pertama rejim itu memerintah. Antara yang melarikan diri itu adalah guru dan pensyarah.
Tambahan pula Afghanistan kini berada di bawah sekatan antarabangsa yang mana aset serta dana untuk pembangunan semula negara itu dibekukan.
Sekalipun Bank Dunia baru-baru ini membenarkan pelepasan dana berjumlah kira-kira AS$1 bilion bagi membantu membiayai program pendidikan, kesihatan dan keluarga di bawah PBB, dana itu tidak cukup untuk menampung pembayaran gaji guru dan pensyarah.
Masalah kekurangan tenaga pengajar juga bertambah parah berikutan pelaksanaan pengasingan kelas pelajar lelaki dan perempuan di sekolah dan universiti.
Sementara itu, aktivis pendidikan Obaidallah Faisal yakin penutupan tersebut hanya sementara iaitu disebabkan oleh kekurangan guru wanita, dan beliau percaya tidak lama lagi Taliban akan membenarkan guru lelaki mengajar penuntut perempuan.
"Tidak ada peraturan yang menyatakan guru lelaki tidak boleh mengajar (penuntut perempuan). Saya harap mereka akan benarkan guru lelaki berbuat demikian kerana (kerajaan) tidak ada pilihan lain (untuk menampung kekurangan guru wanita),” katanya.
Obaidullah yang merupakan Pengarah Helping Hands for Relief and Development - Afghanistan, menambah sekolah menengah juga harus mencontohi universiti, di mana kebanyakan universiti membenarkan pensyarah lelaki mengajar siswi namun pensyarah wanita tidak boleh mengajar penuntut lelaki.
Bagaimanapun di Universiti Perubatan Kabul, kekurangan tenaga pengajar menyebabkan pensyarah wanita dibenarkan mengajar kedua-dua gender.
Pensyarah mikrobiologi Dr Abdullah Asady melihat situasi itu akan menjejaskan kualiti pendidikan. Disebabkan guru perlu mengajar kelas yang sama dua kali, mereka akan kesuntukan masa untuk membantu pelajar, katanya.
"Beban kerja (juga bertambah), selain gaji kami juga dikurangkan hingga separuh daripada gaji asal,” katanya, menambah situasi semasa adalah tidak mampan.
Abdullah antara mereka yang bertuah kerana menurut Sameera, kebanyakan guru tidak dibayar gaji. Kata Sameera, kemungkinan besar pemotongan gaji dan kegagalan membayar gaji kepada guru adalah penyebab penutupan sekolah menengah tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, isu itu dianggap selesai buat masa ini kerana aktivis pendidikan dan agensi bantuan berjaya mencapai kesepakatan dengan Kementerian Pendidikan dalam usaha membuka semula sekolah menengah yang sepatutnya berlaku pada 23 Mac lalu.
"Jadi, nampaknya kluster pendidikan dan penyumbang dana pembangunan perlu mengadakan mesyuarat tergempar dalam masa terdekat,” katanya, merujuk kepada perkembangan terkini.
KEKELIRUAN DAN KECAMAN
Tindakan membatalkan pembukaan semula sekolah menengah untuk pelajar perempuan itu mencetuskan kekeliruan, kecaman dan kritikan dalam kalangan ibu bapa, PBB, diplomat dan agensi-agensi kemanusiaan.
Malah Penasihat Khas mengenai Afghanistan Wisma Putra Datuk Ahmad Azam Ab Rahman juga bingung dengan keputusan Taliban itu, namun beliau berpandangan keputusan tersebut tidak bermakna kerajaan Taliban kembali kepada cara lama.
"Dalam mesyuarat saya bersama Kementerian Pendidikan (Afghanistan), mereka kelihatan terbuka kepada pelbagai model termasuk model Malaysia. Mereka perlukan sedikit masa untuk memilih model yang sesuai berdasarkan kefahaman mereka selain perlu mematuhi prinsip-prinsip Islam,” ujar beliau.
Beliau juga berpandangan masyarakat antarabangsa tidak patut tergesa-gesa mengecam Taliban, sebaliknya perlu mengambil kira faktor sensitiviti budaya.
"Selepas 40 tahun berperang, takkan lah anda yang tidak ada pengalaman, boleh mentadbir urus dengan baik hanya dalam tempoh enam bulan,” katanya yang sekali lagi mengulangi gesaan agar komuniti antarabangsa memberi peluang kepada Taliban untuk belajar.
Sameera juga sedar akan hal itu, namun yang paling mengecewakannya ialah kerajaan terdahulu sudahpun mewujudkan sistem di Kementerian Pendidikan. Apabila Taliban mengambil alih kuasa, ia memecat semua staf berpengalaman yang boleh membantu ia mentadbir.
Oleh itu, isu kredibiliti Taliban yang sememangnya dipersoal sejak awal, tidak lagi boleh disangkal, tegasnya.
"Tak ada sesiapapun yang percayakan mereka lagi,” katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!