Polis Kedah tempatkan 50 anggota kawal sempadan negara
ALOR SETAR - Polis Kedah bersedia menempatkan kira-kira 50 anggota melalui penubuhan pasukan khas sebagai persediaan mengawal pelaksanaan pembukaan sempadan negara, 1 April nanti.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, pasukan itu terdiri daripada empat pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah dan dua di peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) telah diwujudkan dan bersedia sejak lebih sebulan lalu.
Menurutnya, dengan adanya pasukan terbabit, rondaan, pemeriksaan dan sekatan jalan raya akan diperketatkan sekali gus mengawal pergerakan keluar masuk sempadan yang dijangka lebih rancak setelah pembukaan nanti.
"Kita jangkakan bahawa aliran trafik dan pergerakan di sempadan akan lebih aktif dan kemungkinan jenayah turut meningkat," katanya selepas acara perbarisan sempena Sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 Tahun 2022 Peringkat IPK Kedah pada Jumaat.
Jelasnya, tinjauan di kawasan sempadan juga akan dibuat bersama Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada 27 Mac nanti bersama ketua jabatan mengambil kira persediaan dari pelbagai aspek.
"Saya telah diarahkan oleh pucuk pimpinan supaya sediakan satu program pada 1 April di sempadan secara lebih menyeluruh melibatkan unit berkuda dan sebagainya.
"Pembukaan sempadan kita pada 1 April juga disusuli dengan pembukaan sempadan Kelantan pada 31 Mac nanti dan kita sudah bersedia dengan penambahan elemen rondaan yang lebih kerap, saya juga telah arahkan Ketua Polis Daerah Kubang Pasu agar hebatkan rondaan," jelasnya.
Menurutnya, walaupun kawalan sempadan dikawal Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Angkatan Tentera Malaysia dari aspek penyeludupan dan sebagainya, namun Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah bersiap sedia dengan kesiagaan anggota.
Katanya, biarpun pasukan khas yang ditubuhkan memberi fokus kepada penugasan kawalan sempadan namun operasi bersepadu melibatkan semua jabatan dan jabatan lain tetap berjalan seperti biasa termasuk operasi khusus Op Lejang, Op Dadu dan lain-lain yang dilaksanakan secara berterusan.
"Ia termasuklah di daerah besar seperti Kota Setar, Kubang Pasu, Kuala Muda, Kulim dan Langkawi, dilaksanakan operasi khas sekurang-kurangnya dua kali seminggu," katanya.
Sementara itu, dalam majlis sama, seramai 58 orang awam dan polis diraikan serta menerima surat penghargaan dari Ketua Polis Kedah.
Turut menerima sijil penghargaan, empat wakil media Kedah termasuk Wartawan Sinar Harian, Siti Zubaidah Zakaraya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!