Mangsa banjir di Kelantan desak kerajaan bina pintu air

Sebahagian daripada mangsa banjir mengadakan demonstrasi aman selama satu jam berhampiran Sungai Lanchang, Rantau Panjang bagi mendesak pihak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir bawah Projek Fasa Satu PLSB Sungai Golok (Kesban) dengan kadar segera.
Sebahagian daripada mangsa banjir mengadakan demonstrasi aman selama satu jam berhampiran Sungai Lanchang, Rantau Panjang bagi mendesak pihak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir bawah Projek Fasa Satu PLSB Sungai Golok (Kesban) dengan kadar segera.
A
A
A
RANTAU PANJANG - Seramai 150 mangsa banjir mengadakan demonstrasi aman selama satu jam berhampiran Sungai Lanchang di sini bagi mendesak pihak kerajaan mewujudkan lebih banyak pintu air di kawasan tebatan banjir bawah Projek Fasa Satu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok (Kesban) dengan kadar segera.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Banjir Penduduk Rantau Panjang, Norhisham Abdullah berkata, tindakan segera itu bagi mengelakkan banjir besar terus menghantui penduduk di kawasan berkenaan pada masa hadapan.

"Tebatan yang dibina sejauh 30 kilometer (km) dari Tok Uban ke Lanchang ini langsung tidak mempunyai pintu air atau kecemasan.

"Bila berlaku hujan lebat air tidak dapat mengalir ke Sungai Golok sehingga menyebabkan banjir besar berlaku dan perkampungan kami bagaikan berada di dalam akuarium," katanya kepada pemberita pada Jumaat.

Menurutnya, sejak projek itu berjalan sudah dua kali banjir teruk melanda kawasan tersebut pada Disember 2021 dan hujung Februari lalu namun tiada sebarang penambahbaikan yang dibuat oleh pihak terlibat.

Seorang penduduk, Ariffin Ismail berkata, ketika banjir besar Februari lalu hanya tujuh kawasan di Parlimen Rantau Panjang yang tidak ditenggelami air.

Katanya, manakala kawasan lain semua dinaiki air sehingga paras bumbung rumah dan ada segelintir penduduk yang kehilangan rumah akibat dihanyutkan.

Beliau berkata, tujuan asal benteng ini dibina untuk mengatasi banjir tetapi lain jadinya apabila banyak kampung yang ditenggelami air disebabkan projek tersebut.

"Kami merayu pihak kerajaan untuk mencari jalan penyelesaian segera, kalau perlu bina pintu air buatlah.

Artikel Berkaitan:

"Tidak lama lagi musim tengkujuh akan tiba dan penduduk sentiasa hidup dalam ketakutan serta kebimbangan," katanya.

Menurutnya, sebelum pembinaan tebatan mereka sudah biasa menghadap banjir tetapi tidak seteruk sekarang.

Mangsa banjir, Rahmah Che Abdullah, 66, berkata, sepanjang hidupnya banjir Februari lalu merupakan yang terburuk sehingga rumahnya di Kampung Tersang hanya kelihatan bumbung sahaja.

"Sebelum ini kalau hujan musim tengkujuh akan mengambil masa dua tiga hari baru banjir tetapi sejak pembinaan tebatan hanya beberapa jam air sudah melimpah.

"Kami berharap sangat tindakan segera diambil untuk menangani masalah ini, bukan sahaja harta benda tetapi nyawa dalam bahaya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!