Cuaca panas: Rezeki peniaga kelapa muda
KULIM - Keadaan cuaca panas terik yang berlarutan di negara sejak kebelakangan ini membuka ‘pintu rezeki’ buat peniaga minuman tepi jalan di sekitar bandar Kulim, di sini.
Pasangan suami isteri, Zakaria Man, 57, dan Salmah Mohd Desa, 56, yang mengusahakan perniagaan goreng pisang di Jalan Tunku Putra sejak 10 tahun lalu turut menerima tempias 'rezeki' cuaca panas dengan menjual air kelapa muda di gerainya.
Menurut Zakaria, walaupun perniagaan goreng pisangnya kurang laris namun penjualan minuman air kelapa muda ini kian meningkat saban hari.
"Ketika cuaca panas ini perniagaan goreng pisang saya agak kurang laris, mungkin kerana keinginan pelanggan untuk makan makanan bergoreng seperti itu kurang.
"Memikirkan perkara itu, saya dan suami tidak tunggu lama mengubah strategi perniagaan untuk menambah pendapatan dengan menjual air kelapa muda di sini," katanya.
Zakaria berkata, kelapa muda jenis matang digunakan dalam perniagaannya itu kerana harga yang berpatutan dan tahan lama.
"Kelapa muda ini harganya agak murah boleh dijual kepada pelanggan antara RM2.50 secawan hingga RM4.50 sebiji berbanding kelapa jenis lain, kerana harganya naik melambung," katanya.
Katanya, bagaimanapun bekalan kelapa muda jenis matang ini juga sangat terhad kerana permintaan yang tinggi daripada peniaga air minuman buah itu.
"Kadangkala susah juga mahu dapatkan bekalan kelapa muda ini, sehingga harga juga boleh naik kerana bekalan kurang," katanya.
Sementara itu, peniaga di Jalan Sungai Ular, Rizki Ahmad, 25, berkata setiap hari sebanyak 70 hingga 80 biji kelapa muda di gerainya terjual sejak cuaca panas hampir sebulan lalu.
"Saya nampak jualan kelapa muda sangat ketara ketika musim panas berbanding hari hujan yang kadangkala stok kelapa muda menjadi busuk dan terpaksa dibuang.
"Ketika cuaca panas ini, saya tidak bimbang masalah kelapa busuk kerana tidak terjual, malah terpaksa mencari bekalan sehingga di merata tempat kerana sering kehabisan bekalan," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!