Koperal trafik IPD Bachok terima anugerah integriti PDRM
BACHOK - Seorang anggota polis berpangkat Koperal dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bachok menerima Anugerah Integriti Polis Diraja Malaysia (PDRM) Tahun 2022 pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Mohamad Ismail Jamaludin berkata, anugerah itu diberikan kepada bapa lima anak, Koperal Mohd Supiyan Mohamad, 42, oleh Pengarah Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM Bukit Aman.
“Koperal Mohd Supiyan wakil dari Kelantan menerima anugerah ini bagi menghargai prestasi cemerlang dan komitmen yang tinggi sepanjang menganggotai pasukan PDRM.
“Penganugerahan ini diharap menjadi dorongan kepada seluruh warga PDRM Bachok agar meneruskan perkhidmatan yang berkualiti kepada masyarakat setempat,” katanya selepas Majlis Sambutan Hari Polis ke-215 Peringkat IPD Bachok di Balai Polis Jelawat di sini pada Jumaat.
Turut disampaikan Sijil Penghargaan kepada kepada anggota dan pegawai polis yang cemerlang dalam penugasan, kakitangan awam, orang awam serta tiga wartawan dari dua agensi, Sinar Harian dan Media Mulia.
Hadir sama, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Mohamad Ismail berkata, Koperal Mohd Supiyan juga adalah wakil tunggal dari Kontinjen Kelantan ke Temuduga Anugerah Intergriti PDRM Peringkat Pusat Tahun 2022 bagi kategori pegawai pangkat rendah Polis baru-baru ini.
Sementara itu, Koperal Mohd Supiyan yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, beliau amat terharu dan berbangga dengan penganugerahan itu setelah 19 tahun berkhidmat dalam pasukan PDRM.
“Saya dalam keluarga memecahkan tradisi menyertai polis selepas dipaksa oleh arwah ibu bertujuan membentuk disiplin diri.
“Pasukan ini mendidik saya menjadi seorang yang bertanggungjawab, patuh pada arahan ketua dan lebih menyayangi keluarga.
“Saya berhasrat untuk mengekalkan rekod perkhidmatan yang berintegriti dengan menetapi masa bekerja selain bebas daripada rasuah,” katanya.
Dalam perkembangan sama, sambutan Hari Polis ke-215 tersebut turut memberikan kegembiraan berganda kepada Mohamad Ismail apabila bersama empat anak menyambut ulang tahun kelahiran isterinya, Siti Sara Ahmad Zulkifli yang ke 42 yang jatuh pada hari sama.
Siti Sara juga adalah Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) daerah Bachok.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!