Kuota 50 gambar penduduk Palestin mengarut!
TEL AVIV - Komander tentera Israel didakwa tidak membenarkan anggota mereka menamatkan giliran tugas sehingga dapat mengambil gambar kira-kira 50 penduduk Palestin di Tebing Barat dan Baitulmaqdis untuk dimuat naik ke dalam pangkalan data sistem pengesanan yang digunakan ke atas populasi tersebut.
Perkara itu didedahkan akhbar Haaretz selepas menerima bantahan beberapa anggota tentera rejim Zionis yang menyifatkan ia sebagai ‘kuota mengarut’ kerana ia telah menjadi ‘misi utama’ mereka.
“Mana-mana anggota di pos pemeriksaan yang gagal mencapai kuota ditetapkan akan dipaksa meneruskan tugas mereka. Penalti turut diperkenalkan oleh pegawai atasan supaya mereka dapat mengambil foto penduduk Palestin yang dikehendaki termasuk warga emas, wanita dan kanak-kanak,” jelas laporan itu lagi.
Sebagai usaha menggalakkan anggota tentera menyelesaikan tugas mereka mengikut kuota ditetapkan, hadiah turut ditawarkan kepada unit yang berjaya mendapatkan jumlah gambar paling banyak yang digambarkan sebagai ‘Facebook untuk Palestin’.
Difahamkan, beberapa anggota tentera Israel turut memuat naik ‘arahan merapu’ di media sosial dan mendakwa ia adalah sebahagian daripada persaingan sengit antara unit tentera yang mahu menunjukkan kekuatan mereka kepada peringkat tertinggi iaitu Pusat Perintah dengan cara ‘membodek’ seperti itu.
Pada November lalu, The Washington Post pernah melaporkan jumlah gambar yang telah diambil sewenang-wenangnya telah mencecah ribuan keping dan ia dilihat sebagai sebahagian daripada bentuk pelanggaran hak asasi manusia. - Agensi
Info
* Tentera rejim Zionis telah menggunakan sistem pengesanan Blue Wolf sejak lebih dua tahun lalu.
* Teknologi telefon pintar tersebut bertujuan untuk mengambil gambar penduduk Palestin dan kemudiannya memadankannya dengan pangkalan data yang dikendalikan tentera Israel dan perkhidmatan risikan.
* Ia dipercayai sebagai sebahagian daripada dasar pengawasan yang diperluaskan dan diperkenalkan tentera Israel pada 2016.
* Sistem tersebut menggunakan teknologi pengecaman wajah, sensor dan kamera yang mengawasi penduduk Palestin di Baitulmaqdis dan seluruh Tebing Barat.
* Blue Wolf membolehkan tentera rejim Zionis mengambil gambar menggunakan telefon pintar dan menggunakan aplikasi tersebut untuk pencarian dalam pangkalan data.
* Ia turut dilengkapi sistem kod warna yang menentukan sama ada gambar penduduk Palestin yang telah diambil perlu diberkas atau tidak.
* Data lain yang disimpan termasuk kad pengenalan, umur, jantina, alamat tempat tinggal, nombor pendaftaran kenderaan, kontak rapat dan permit sah untuk bekerja di Israel.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!