Wallahi, hanya bersarapan sahaja: Khairy
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan tiada sebarang perbincangan berkenaan pembubaran Parlimen pada pertemuan melibatkan menteri, Timbalan Menteri UMNO, pagi Jumaat di Putrajaya.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan menegaskan, pertemuan tersebut hanya sesi bersarapan pagi bersama sebelum Mesyuarat Kabinet.
“Kita breakfast (sarapan pagi) sahaja. Wallahi, hanya bersarapan. Datuk Seri Reezal Merican (Naina Merican) belanja.
"Mungkin sebab kita sudah lama tidak berjumpa, minggu lepas PAU (Perhimpunan Agung UMNO) dan sebagainya," kata Khairy pada sidang akhbar selepas lawatan di ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) di sini, pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, satu pertemuan antara menteri-menteri daripada UMNO berlangsung di sebuah hotel terkemuka di Putrajaya pada Jumaat.
Antara yang dilihat hadir pada sesi pertemuan berkenaan ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar; Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Menteri Perpaduan, Datuk Halimah Saddiq.
Bagaimanapun, Annuar ketika ditemui menafikan ada pertemuan antara mereka.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!