Sambutan Hari Polis ke-215 penuh istiadat, patuh SOP

Ismail Sabri ketika menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri ketika menghadiri sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bertemakan 'Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada', sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 secara serentak di seluruh negara pada Jumaat diadakan dengan penuh istiadat kepolisan dan dalam suasana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) susulan Covid-19.

Sambutan yang diadakan pada setiap 25 Mac itu, adalah sebagai penghargaan kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas khidmat bakti dicurahkan dalam memikul amanah dan tanggungjawab memelihara keamanan serta keselamatan negara.

Di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur di sini, sambutan dimulakan dengan perbarisan masuk pasukan kawalan kehormatan melibatkan 629 pegawai dan anggota sebelum panji-panji utama PDRM diarak masuk, selain pameran 40 unit aset PDRM iaitu 20 motosikal dan 20 kenderaan pelbagai jenis.

Anggota 69 Komando membuat pertunjukan aksi terjunan payung terjun pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta pada Jumaat. - Foto Bernama

Sambutan yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob; Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani dan Panglima Angkatan Tentera, Jen Tan Sri Affendi Buang dimeriahkan dengan acara terbang lintas melibatkan tiga helikopter PDRM yang membawa Jalur Gemilang.

Acryl Sani dalam ucapannya berkata, keprihatinan kerajaan terhadap keperluan PDRM dalam memantapkan sistem penyampaian perkhidmatan pasukan serta peruntukan dana demi kesejahteraan warga PDRM yang berkhidmat serta pesara, amat dihargai.

Anggota PDRM memperagakan pakaian seragam lama sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama
Anggota PDRM memperagakan pakaian seragam lama sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang pada Jumaat. - Foto Bernama

"PDRM menzahirkan kesediaan untuk menghulurkan apa jua bantuan yang diperlukan demi mendukung dasar dan usaha kerajaan dalam mengekalkan kesejahteraan masyarakat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Di Putrajaya, sambutan diadakan dalam suasana sederhana dengan penyampaian surat penghargaan kepada anggota polis dan orang awam, manakala di Selangor acara peringkat daerah di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam juga membabitkan penganugerahan sijil penghargaan kepada 31 anggota dan orang awam atas bakti yang dicurahkan.

Di Negeri Sembilan, sambutan berkenaan dimulakan dengan penyampaian sijil Anugerah Integriti PDRM kepada lima anggota termasuk pegawai dari kontinjen negeri itu, manakala di Melaka sijil penghargaan disampaikan oleh Pemangku Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah antaranya kepada individu, agensi kerajaan, swasta atas kerjasama dan sokongan kepada pihak polis.

Kamarul Zaman (kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Dataran Kawad, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Jumaat. - Foto Bernama

Di Johor, jurugambar Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Johor, Shaifuldin Ahmad menjadi antara 10 petugas media yang menerima surat penghargaan sempena Hari Polis di Dataran Kawad, IPK Johor yang disampaikan oleh Ketua Polis Johor Datuk Kamarul Zaman Mamat.

Di Pahang, dalam majlis sambutan berkenaan, Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf mengingatkan warga PDRM supaya mengimbangi antara tuntutan tugas dan keluarga, selain ketua masyarakat digalakkan berganding bahu dengan pasukan polis dalam membanteras jenayah.

Shafien (kiri) membetulkan tanda nama seorang anggota semasa memeriksa perbarisan kawalan hormat pada majlis sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Padang Kawad IPK Kelantan pada Jumaat. - Foto Bernama

Di Kelantan, bercakap kepada pemberita selepas upacara sambutan, Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis negeri akan menubuhkan unit berkuda, unit anjing pengesan (K9) dan unit dron dalam masa terdekat untuk mengawal sempadan negeri, selain sebagai persediaan Fasa Peralihan Ke Endemik pada 1 April ini.

Pada Majlis Peringatan Hari Polis ke-215 itu, dua wartawan sambilan Bernama Kelantan, Habsah Ismail dan Wan Muhammad Wan Adam antara 10 pengamal media yang menerima sijil penghargaan.

Di Terengganu, sambutan diserikan dengan persembahan deklamasi sajak bertajuk ‘Aku Polis’ oleh Koperal Nizwan Wahab daripada Cawangan Keselamatan Istana dan pemakaian pakaian seragam polis Terengganu pada 1919 yang dipinjamkan oleh Muzium PDRM.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad memeriksa perbarisan PDRM pada sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat negeri di Briged Utara, Pasukan Gerakan Am, Ulu Kinta pada Jumaat. - Foto Bernama

Di Perak, pelbagai acara antaranya persembahan payung terjun dan tarian perang diadakan sempena sambutan itu, yang melibatkan 458 pegawai dan anggota polis serta Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Di Pulau Pinang, sambutan dimeriahkan dengan upacara perbarisan dan penyampaian sijil Anugerah Integriti PDRM bagi 2021 oleh Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain, sebagai penghargaan serta pengiktirafan kepada pegawai dan anggota polis serta kakitangan awam yang diperakui menunjukkan pencapaian integriti di tahap terbaik.

Di Kedah, sambutan dimeriahkan dengan penyampaian sijil penghargaan oleh Ketua Polis Kedah, Wan Hassan Wan Ahmad di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah kepada pegawai dan anggota polis serta orang awam yang telah banyak membantu polis dalam menjaga ketenteraman awam.

Anggota PDRM, Sarjan Haslinda Jamil membuat pertunjukan karate sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Labuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan pada Jumaat.
Anggota PDRM, Sarjan Haslinda Jamil membuat pertunjukan karate sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke-215 peringkat Labuan di Ibu Pejabat Polis Daerah Wilayah Persekutuan Labuan pada Jumaat.

Di Perlis, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mengingatkan anggota polis agar sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik pada setiap masa kerana masyarakat sentiasa bergantung harap kepada pasukan tersebut untuk melindungi mereka dalam apa juga keadaan.

Di Sabah, pertunjukan daripada anggota keselamatan mengenai tatacara menyelamat dan memindahkan individu penting ke dalam kenderaan ketika berada dalam keadaan kecemasan, mencuri tumpuan sambutan yang turut dihadiri Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Idris Abdullah. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!