Tunjuk ajar senior main peranan penting: Ahmad Khuzaimi

Ahmad Khuzaimi
Ahmad Khuzaimi
A
A
A

SOKONGAN dan tunjuk ajar daripada rakan sepasukan menjadi faktor di sebalik prestasi memberangsangkan pemain pertahanan skuad kebangsaan Ahmad Khuzaimi Piee pada aksi Persahabatan Antarabangsa Tier 1 menentang Filipina, Rabu lepas.

Ahmad Khuzaimi berkata, sokongan diberikan rakan sepasukan terutama pemain lebih berpengalaman amat membantunya menyesuaikan diri pada aksi itu yang juga penampilan antarabangsa keduanya sejak kali terakhir menyarung jersi skuad Harimau Malaya pada 2016.

Menurut pemain Negeri Sembilan FC itu, kata-kata motivasi daripada peminat juga mempengaruhi prestasinya pada aksi tersebut yang menyaksikan beliau memainkan peranan penting di bahagian benteng pertahanan dalam kejayaan menewaskan Filipina 2-0.

"Apa yang saya boleh cakap tentang perlawanan menentang Filipina, komitmen semua pemain di padang memberikan yang terbaik.

"Ini penampilan kedua saya bersama skuad kebangsaan tetapi tunjuk ajar daripada senior memainkan peranan untuk diri saya bermain (baik) pada malam itu selain sokongan rakan sepasukan lain turut beri banyak pengaruh (prestasi saya)," katanya pada sidang media pra perlawanan menentang Singapura, pada Jumaat.

Aksi berdepan Singapura yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional di republik itu, malam Sabtu adalah perlawanan kedua perlu ditempuh skuad bimbingan Kim Pan Gon bagi melengkapkan saingan Siri Tiga-Negara FAS yang berlangsung di republik itu.

Terdahulu, anak buah Pan Gon cemerlang menundukkan Filipina pada aksi sulung di Stadium Nasional sekali gus menamatkan badi lima keputusan seri bertemu skuad 'Azkals' sejak 2012.

Malah, pada pertembungan itu keputusan Pan Gon menurunkan Ahmad Khuzaimi dalam kesebelasan utama bergandingan dengan pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) Shahrul Mohd Saad turut menarik perhatian ramai yang tidak menjangkakan beliau dipilih selepas sekian lama tidak beraksi di pentas antarabangsa.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Ahmad Khuzaimi berazam meneruskan prestasi memberangsangkan pada perlawanan menentang Singapura sekiranya sekali lagi diturunkan dalam skuad utama negara.

Skuad bimbingan Pan Gon akan menamatkan siri perlawanan persahabatan di Singapura, yang juga persediaan menghadapi Kelayakan Piala Asia 2023 Jun ini, dengan bertemu kelab tempatan Albirex Niigata FC pada 28 Mac ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!