Wanita antara enam suspek ditahan terlibat kes samun farmasi
AMPANG - Seorang wanita antara enam individu diberkas dipercayai terlibat dalam kes samun sebuah farmasi di Pandan Indah di sini pada Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata enam suspek warga tempatan tersebut diberkas di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.
"Tangkapan dijalankan sepasukan anggota dan pegawai polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Ampang Jaya itu berjaya memberkas enam suspek yang berumur antara 19 hingga 35 tahun.
"Keenam suspek diberkas bekerja dalam bidang syarikat kawalan keselamatan, peniaga emas dan penganggur," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Katanya, tangkapan ke atas suspek turut sama merampas pelbagai barangan dipercayai hasil jenayah dan digunakan untuk melakukan kegiatan samun.
"Antara barangan yang dirampas adalah pelbagai jenis telefon bimbit, empat buah motosikal, sebuah kereta, sejumlah wang tunai dan dua utas gelang tangan emas.
"Kesemua suspek direman antara empat hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan," katanya.
Pada Jumaat, sebuah farmasi digemparkan dengan kejadian samun kira-kira jam 12.40 tengah hari.
Dalam kejadian itu, dua suspek lelaki memakai topi keledar serta memakai jaket hitam melarikan barang kemas milik dua pekerja dan wang tunai farmasi tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!