'Terima kasih PM kerana ingat kami'

Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada penerima pada Majlis Perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri menyampaikan sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia kepada penerima pada Majlis Perasmian Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia Negeri Perlis di Kompleks Sukan Tuanku Syed Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

KANGAR - "Terima kasih PM (Perdana Menteri) kerana ingat kami,” kata penerima sumbangan Yayasan Keluarga Malaysia, Shafiq Amirul Norhisham.

Remaja berusia 17 tahun itu yang membantu ayahnya, Norhisham Nordin, 51, bekerja sebagai nelayan berasa terharu menerima sumbangan sebanyak RM2,000 yang disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Pemberian ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban kami sekeluarga,” katanya kepada Bernama selepas menerima sumbangan itu pada program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) Perlis yang berlangsung di Kompleks Sukan Syed Putra pada Jumaat.

Beliau kehilangan ibunya, Zahrah Rosli yang meninggal dunia pada usia 36 tahun, Julai tahun lepas, akibat Covid-19.

Selain keluarga Shafiq Amirul, sebanyak 10 buah keluarga lain yang terjejas ekoran pandemik turut menerima sumbangan tersebut.

Sementara itu, turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Seorang lagi penerima, Lok Xuan Feng turut meluahkan kegembiraannya dapat bertemu dengan Perdana Menteri.

"Saya rasa seronok dapat jumpa PM,” kata murid Tahun Enam itu yang kematian bapa disebabkan Covid-19 tahun lepas.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, seramai lapan orang pelajar menerima surat tawaran ke institut pengajian tinggi (IPT) dan tablet notepad daripada Perdana Menteri.

Seorang penerima, Syed Jalai Syed Nawawi, 21, berkata, beliau akan menggunakan sebaik mungkin tablet tersebut untuk tujuan pembelajaran apabila memulakan pengajian pada peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang kesihatan dan kecerdasan, di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Arau pada 1 April ini.

"Kalau ikutkan keluarga saya, memang tidak mampu untuk belikan notepad, saya bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan kerana membantu Keluarga Malaysia yang terkesan akibat Covid-19,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!