MoU perlu ditepati, dipercayai
SHAH ALAM - Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang perlu dipercayai serta ditepati dengan segala usul yang dibawa oleh kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau, Dr Akmal Salleh berkata, apabila berlakunya sebuah perjanjian dalam MoU itu, mereka seharusnya menerima atau bertindak berkecuali dan bukan menolak usul itu.
Menurutnya, tindakan pembangkang itu sedikit sebanyak menjatuhkan moral dan mengakibatkan ketidakstabilan politik.
“Macam kahwin kita berjanji dengan isteri kita, setia bersama tapi apabila perjanjian itu dicabuli macam mana?
“Jadi kalau pihak pembangkang itu menghormati MoU yang telah ditandatangani untuk memastikan kestabilan politik ini berlaku, pastinya kalau tidak menolak pun buatlah berkecuali, sekurang-kurangnya memberi satu makna.
“Kita tidak bolehlah kata perjanjian itu bukan kitab suci, bila ini berlaku sedikit sebanyak menjatuhkan moral dan mengakibatkan ketidakstabilan politik,” katanya pada Wacana Sinar edisi ke-322 yang membincangkan tajuk 'Langgar MoU, PRU15 menanti' pada Jumaat.
Turut menjadi panel, Pakar Perlembagaan, Profesor Datuk Dr Shamrahayu Abd Aziz; Penganalisis Politik, Prof Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin, manakala Ismail Adnan sebagai moderator.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, mereka bukan menyifatkan pembangkang sebagai kambing hitam untuk membatalkan MoU tersebut.
Sebaliknya beliau berkata, apabila sudah ada persefahaman dan kepercayaan, maka semua usul yang dibawa oleh kerajaan akan dipersetujui atau dikecualikan pada masa itu.
“Saya tidak mengatakan mana-mana ahli Parlimen yang tidak hadir itu tidak salah, itu tetap salah sebab mereka sepatutnya bertanggungjawab untuk hadir tetapi tidak hadir.
“Tetapi hari ini kita nak bercakap pasal prinsip. Kita bukan nak salahkan orang yang tidak hadir, pembangkang tetapi apakah prinsip kita.
“Kalau nak bercakap mengenai semua ahli Parlimen kena hadir, saya percaya ramai juga ada tugas yang lain. Apabila kita janji dengan orang kita kena tepati, kalau tidak maknanya kita langgar prinsip kita,” ujarnya.
Pada Rabu, usul kerajaan bagi melanjutkan tempoh penguatkuasaan Subseksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) berkenaan tahanan selama 28 hari tanpa perbicaraan gagal mendapat undi belah bahagi di Dewan Rakyat.
Usul yang dikemukakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin itu telah dibahaskan oleh 19 ahli Parlimen yang mengambil bahagian.
Kegagalan kerajaan itu mencatat sejarah apabila buat pertama kalinya blok pembangkang menang dalam penentuan undi belah bahagi.
Melalui undi yang dijalankan, hanya 84 ahli Parlimen bersetuju berbanding 86 yang tidak bersetuju, manakala seramai 50 orang lagi tidak hadir.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!