Salah siapa 2 juta penerima Sinovac hilang status lengkap
KIRA-kira dua juta penerima vaksin Sinovac diunjurkan berisiko untuk hilang status vaksinasi lengkap mereka pada 1 April ini.
Ia melibatkan seramai 2.09 juta penerima Sinovac belum menerima dos penggalak dan sedia maklum, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberi peringatan sejak Disember tahun lalu.
Bagaimanapun sehingga kini, masih ramai yang menolak dos ketiga itu atau adakah mereka tidak mempunyai kesempatan untuk daftar janji temu bagi mendapatkan vaksin tersebut?
Persoalan di sini juga, adakah rakyat Malaysia sudah selesa dan kebal daripada jangkitan Covid-19 dan varian Omicron?
Pada Jumaat, sebanyak 15,574,997 individu dewasa atau 66.2 peratus daripada populasi kumpulan itu di negara ini telah menerima dos penggalak Covid-19 setakat pada Khamis.
Berdasarkan data menerusi laman web CovidNow, sejumlah 22,947,183 atau 97.5 peratus daripada populasi sama telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 23,223,301 atau 98.7 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Bagi remaja berusia 12 hingga 17 tahun pula, 2,846,984 individu atau 91.5 peratus daripada populasi itu telah melengkapkan vaksinasi mereka manakala 2,944,079 atau 94.6 peratus menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.
Dalam pada itu, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga memaklumkan, lebih dua juta penerima vaksin Sinovac bakal kehilangan status vaksinasi lengkap menjelang 1 April ini.
Beliau berkata, peringatan pengambilan dos penggalak bukan perkara baru sebaliknya sudah dimaklumkan sejak 16 Disember tahun lalu.
Tambahnya, peringatan juga telah diberikan pada 7 Februari 2022 dan lanjutan masa diberi 24 Februari 2022.
Tegas Khairy, dos penggalak itu diperlukan setelah melihat keberkesanan kes Covid-19 menurun selepas beberapa bulan dan kesan varian Omicron.
Dalam pada itu, KKM menerusi ciapan di Twitter turut menyatakan, 2.37 juta rakyat Malaysia dianggarkan akan kehilangan status vaksin lengkap menjelang 31 Mac 2022.
Sementara itu, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth) mengambil inisiatif akan menyediakan perkhidmatan vaksinasi terus ke rumah dikenali sebagai Home Vaccination kepada warga emas yang tidak dapat hadir ke pusat pemberian vaksin (PPV) berikutan masalah logistik.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anas Alam Faizli dalam satu kenyataan memaklumkan, perkhidmatan itu disediakan bagi memperluas dan mempercepatkan vaksinasi dos penggalak, sebelum keistimewaan sijil vaksinasi penuh ditarik semula daripada penerima vaksin yang tidak mendapatkan dos penggalak sehingga 31 Mac ini.
Justeru, golongan warga emas dan penerima vaksin Sinovac perlu mengambil peluang menerusi kemudahan perkhidmatan sedia ada bagi mengelakkan status lengkap vaksinasi hilang begitu sahaja.
Anak-anak juga perlu memainkan peranan penting dengan menggalakkan ibu bapa untuk mengambil dos penggalak supaya dapat mencapai kesejahteraan kesihatan negara.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!