Membentuk transisi mantap Harimau Malaya di Singapura

Foto Football Association of Malaysia
Foto Football Association of Malaysia
A
A
A

KEMENANGAN 2-0 skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon ke atas Filipina di Stadium Nasional, Singapura dalam aksi persahabatan Siri Tiga Negara pada Rabu, boleh disifatkan tonik semangat dinantikan 'pemain ke-12'.

Menariknya, kemenangan itu juga sesuatu yang boleh dibanggakan apabila dipacu pemain sayap lincah Johor Darul Ta'zim (JDT) yang cemerlang ketika berdepan Kemboja sebelum didapati positif Covid-19 menjelang aksi kedua berdepan Laos di peringkat Kumpulan B Piala Suzuki AFF 2020 di laman sama pada Disember lalu.

Malah, kemenangan meyakinkan skuad negara yang berstatus 154 dunia ke atas The Azkals pasukan ranking ke-129 kendalian Ernest Nierras itu menyerlahkan semula kualiti para pemain negara yang sebelum ini terhalang berikutan kurang keyakinan sepanjang kempen dwitahunan tersebut.

Ya, bukan mudah untuk melupakan memori pahit Piala Suzuki AFF 2020 sebelum ini, apatah lagi sasaran ditetapkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk 'Piala Dunia Asia Tenggara' itu adalah pentas perlawanan akhir.

Kegagalan di Singapura tersebut juga menyaksikan pengendali Harimau Malaya pada ketika itu Tan Cheng Hoe, mengambil keputusan melepaskan jawatan atas rasa tanggungjawab terhadap prestasi pasukan negara.

Jadi kemenangan ke atas Filipina buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun yang kali terakhir ditewaskan Harimau Malaya 4-0 dalam kejuaraan Piala Suzuki AFF 2007, sejak itu dalam lima pertemuan berakhir dengan keputusan seri kembali menyerlahkan belang Harimau Malaya.

Ya, dan sesungguhnya pemain ke-12 sekali lagi pada malam ini mengharapkan satu lagi kemenangan dapat dilakar anak buah Pan-gon apabila berdepan dengan tuan rumah Singapura kendalian Nazri Nasir di Stadium Nasional dalam perlawanan kedua.

Malah tidak keterlaluan juga rentak kemenangan ke atas The Lions berstatus ranking ke-161 dunia itu menjadi tuntutan dalam kalangan komuniti bola sepak negara, apatah lagi Pan-gon sejak awal lagi menyerapkan mentaliti menang dalam kalangan para pemain.

Artikel Berkaitan:

Apapun para pemain ke-12 Harimau Malaya juga perlu meletakkan satu lagi keperluan utama yang sedang dibentuk bekas Pengarah Pasukan Kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berusia 52 tahun kelahiran Jinju tersebut.

Perlawanan persahabatan ini merupakan medan untuk Pan-gon menguji kemampuan sebenar para pemain, biarpun pada penghujungnya keputusan positif iaitu kemenangan menjadi motivasi pasukan menjelang Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan.

Ya, Pan-gon sudah membuktikan sentuhan sebagai ketua jurulatih baharu Harimau Malaya apabila memenangi perlawanan pertama sebagai pengendali pasukan, namun harus di ingat bahawa kemenangan ke atas Filipina bukan kemenangan 100 peratus kerana setiap pemain masih memerlukan masa membentuk satu transisi mantap unit Harimau Malaya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!