Malaysia cadang wujud perjanjian perkhidmatan udara dengan Uruguay
KUALA LUMPUR - Mewujudkan perjanjian perkhidmatan udara baharu antara Malaysia dan Uruguay antara perkara yang dicadangkan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kepada Menteri Pengangkutan dan Kerja Raya Uruguay, José Luis Falero.
Ka Siong berkata, perkara itu dibangkitkan semasa kunjungan hormatnya ke atas Falero pada hari terakhir Perhimpunan XXIV Suruhanjaya Penerbangan Awam Amerika Latin (LACAC) ke-24 pada Jumaat.
"Ia bertujuan memperkemas pemulihan industri penerbangan kita terutama menjelang pembukaan semula sempadan mulai 1 April (ini) dan seterusnya. TYT Falero bersetuju agar Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) segera memulakan perbincangan mengenai perkara ini dengan rakan sejawat mereka di sini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Beliau berkata, Uruguay juga bersetuju mengadakan perbincangan lanjut dengan Malaysia untuk bekerjasama dalam penggunaan minyak sawit sebagai Bahan Api Penerbangan Lestari (SAF) mengikut Skim Pengurangan dan Mengimbangi Karbon bagi Penerbangan Antarabangsa (CORSIA).
Menurut Ka Siong, perkara itu akan memberi manfaat kepada semua pihak ke arah industri penerbangan hijau dan mampan.
Ka Siong berkata, pada pertemuan itu juga, Uruguay turut menyatakan keinginan untuk mengetahui lebih lanjut tentang pembangunan dan pengurusan pelabuhan yang cekap dan berkesan oleh Malaysia.Ia susulan kejayaan Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas sebagai pelabuhan kontena ke-12 dan ke-15 tersibuk di dunia.
"Saya juga mengucapkan terima kasih kepada TYT Falero atas sokongan Uruguay kepada Malaysia yang berjaya dipilih semula ke Majlis Pertubuhan Maritim Antarabangsa (IMO) Disember lepas.
"Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE) Malaysia akan menawarkan kepakaran dan kerjasama untuk melatih warga Uruguay dalam membina infrastruktur rel mereka untuk kereta api elektrik,” katanya.
Pada pertemuan itu, Ka Siong turut mengucapkan tahniah kepada Falero atas kejayaan menganjurkan perhimpunan LACAC ke-24 serta pelantikan Pengarah Penerbangan Awam dan Infrastruktur Aeronautik Uruguay, Brig Jen Gaetano Battagliese sebagai Presiden LACAC yang akan datang.
"Di bawah kepimpinan mereka yang berkebolehan, Malaysia dan Uruguay mempunyai banyak potensi untuk bekerjasama,” katanya.
LACAC ditubuhkan pada 1973 dan dianggotai 27 negara antaranya Argentina, Brazil, Costa Rica, Cuba, Guatemala, Panama, Jamaica, Mexico serta Venezuela. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!