Haziq tergolong syahid akhirat
SHAH ALAM - Kematian Allahyarham Muhammad Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang menjadi mangsa tembakan rambang ketika berada dalam Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand tergolong dalam mati syahid akhirat.
Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, ia berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW bahawa mana-mana umat Islam yang meninggal akibat kemalangan seperti kebakaran, lemas dan sebagai, ia termasuk dalam golongan mati syahid.
Menurutnya, mati syahid dikategorikan dalam dua keadaan iaitu syahid dunia serta akhirat.
“Tetapi ia (Haziq) bukanlah mati syahid Fisabilillah atau berperang di jalan ALLAH SWT. Bagaimanapun ia tetap tergolong dalam mati syahid akhirat.
“Apatah lagi Allahyarham berada di dalam masjid dan pastinya berwuduk. Kita doakan semoga ALLAH SWT kurniakan sebaik-baik tempat buat Allahyarham,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Mohamad Shukri turut berpesan kepada keluarga Allahyarham supaya reda kerana walaupun Haziq meninggal dunia dalam keadaan tragis, tetapi di tempat yang suci.
"Umat Islam di sana (New Zealand) janganlah trauma untuk pergi ke masjid kerana kematian itu ada di mana-mana dan bila-bila masa. Tetaplah bersangka baik kepada ALLAH," katanya.
Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad berkata, umat Islam yang mati akibat tembakan pengganas dalam serangan di dua masjid di New Zealand, meninggal dunia dalam keadaan husnul khatimah.
Menerusi khutbah Jumaat minggu lalu, beliau berkata, kesemua mereka yang maut itu meninggal dunia ketika ingin menunaikan solat Jumaat dan mahu menghadap ALLAH SWT.
"Mereka menghadap ALLAH dalam keadaan berwuduk dan dalam rumah ALLAH SWT. Dalam keadaan menanti untuk solat berjemaah. Dalam keadaan menanti solat Jumaat.
"Kesemua itu kebaikan demi kebaikan. Mati dalam husnul khatimah. Kita mengharapkan mereka diberi ganjaran dengan balasan yang sebaiknya di sisi ALLAH SWT," katanya.
Dalam pada itu, Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman turut menyifatkan kematian Muhammad Haziq sebagai syahid akhirat kerana berlaku secara tiba-tiba ketika di dalam masjid.
Bagaimanapun, katanya, jenazah Muhammad Haziq masih perlu diuruskan seperti biasa.
"Ini kerana Allahyarham meninggal dunia akibat ditembak dalam serangan itu dan bukan dalam peperangan.
“Kalau mati dalam peperangan, jenazah tidak perlu dimandikan," jelasnya memetik laporan sebuah akhbar tempatan semalam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!