Swiatek bakal pemain nombor satu dunia
PEMAIN Poland, Iga Swiatek dijangka menggantikan Ash Barty, selaku pemain tenis wanita nombor satu dunia apabila menewaskan Viktorija Golubic 6-2, 6-0 pada pusingan kedua Terbuka Miami, pada Jumaat.
Perkara itu dijelaskan Barty sendiri apabila berdasarkan aksi cemerlang dipamerkan pemain berusia 20 tahun itu ketika ini.
Malah katanya, pemain ranking kedua dunia itu turut dilihat sebagai ‘calon’ paling sesuai untuk ‘menggantikan’ tempatnya setelah bersara kelak.
“Bagi saya, tidak ada pemain lain yang lebih layak. Tengok sahajalah cara dia beraksi..penuh bersemangat.
“Ia juga boleh disifatkan sebagai sesuatu yang luar biasa dan diharapkan dia dapat meneruskan momentum berkenaan,” katanya.
Pada Jumaat, Swiatek mencatatkan kemenangan 6-2, 6-0 ke atas Golubic yang merupakan pemain ranking ke-42 dunia ketika ini.
Kemenangan itu juga melebarkan rekod pertemuan kedua-dua pemain yang menyaksikan Barty menang sebanyak 21 kali berbanding tiga oleh Golubic setakat ini.
Sementara itu Barty yang mengejutkan dunia sukan, terutamanya sukan tenis apabila mengumukan persaraannya pada usia 25 tahun, turut mengucapkan selamat maju jaya kepada Swiatek.
Malah, Barty berharap segera dapat melihat nama Swiatek selaku pemain nombor satu dunia tidak lama lagi.
“Saya sangat berharap untuk menyaksikannya mencapai cita-citanya dalam masa terdekat.
“Selain itu, saya turut berharap dia masih ‘sama’ seperti sebelum ini dengan melakar lebih banyak kejayaan; namun semuanya mengikut rentak dan gaya permainannya sendiri,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!