Tingkat penerangan mengenai e-kupon

Pendaftaran boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, Apple Appstore atau Huawei store. (Gambar kecil: Norizan, Rosli)
Pendaftaran boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, Apple Appstore atau Huawei store. (Gambar kecil: Norizan, Rosli)
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Rakyat Selangor menyambut baik langkah kerajaan negeri supaya kupon parkir bergores tidak lagi dilaksanakan dan digantikan dengan e-kupon menjelang 1 April ini.

Namun, bagi warga emas, mereka mengesa agar pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat mempertingkatkan lagi penerangan mengenai penggunaan sistem itu kepada golongan terbabit.

"Suka atau tidak warga emas juga perlu mengikut peredaran masa namun bukan semua celik teknologi dan agak ketinggalan dalam perkembangan ini," kata Rosli Razak, 60, dari Hulu Langat.

Rakannya, Ishak Mohamad, 64, pula mencadangkan agar pusat penerangan itu diwujudkan di lokasi tumpuan golongan warga emas seperti surau, masjid di kawasan penduduk yang padat.

Sementara itu, seorang suri rumah, Norizan Musa, 52, pula mengakui penggunaan sistem e-kupon lebih cepat namun tidak semua warga emas mempunyai kemudahan telefon yang canggih.

"Maka sudah tentu hendak memuat turun aplikasi pun terbatas dan mereka mungkin perlu guna telefon anak-anak atau mengambil keputusan tidak menggunakan aplikasi ini," katanya.

Tambahnya, mereka mungkin terus menggunakan kupon parkir kertas gores yang disimpan kerana kebanyakan warga emas jarang keluar dan hanya keluar pada waktu-waktu tertentu sahaja.

Pada Khamis lalu, pemegang kupon parkir kertas gores dilaporkan boleh memindahkan baki nilai kupon kepada kredit aplikasi Smart Selangor Parking (SSP) mulai Sabtu.

Artikel Berkaitan:

Inisiatif itu dilaksanakan selepas mengambil kira kebimbangan mereka yang berdepan kerugian selepas SSP bermula April ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, orang ramai yang masih memegang kupon kertas gores perlu mendaftar sebagai pengguna SSP untuk berbuat demikian.

Pendaftaran boleh dilakukan dengan memuat turun aplikasi SSP di Google Playstore, Apple Appstore atau Huawei store.

Bermula 1 April, semua PBT dikehendaki menggunakan sepenuhnya sistem SSP dan memansuhkan sistem kupon kertas demi kemudahan orang awam.

Untuk rekod, aplikasi SSP telah menjimatkan 1,041,221 kilogram kertas sejak diperkenalkan pada tahun 2018. Sehingga kini, SSP mempunyai 1,963,241 pengguna berdaftar.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!