Kaji potensi sumber air alternatif: Aminuddin

Aminuddin (tiga dari kiri) ketika melancarkan Buku 'Coffee Table' bertajuk 'Melestarikan Sungai Anugerah Berharga'.
Aminuddin (tiga dari kiri) ketika melancarkan Buku 'Coffee Table' bertajuk 'Melestarikan Sungai Anugerah Berharga'.
A
A
A

SEREMBAN - Potensi sumber air bawah tanah wajar dikaji dan dibangunkan sebagai satu sumber alternatif yang boleh diterokai serta dimanfaatkan bagi menghadapi ancaman terhadap sumber air permukaan.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, sumber air bawah tanah ialah air yang terdapat dalam lapisan akuifer bawah tanah iaitu terbentuk secara geologikal melalui batu, pasir dan kerikil yang menampung air dalam kuantiti yang banyak.

"Mutakhir ini terdapat banyak ancaman kepada sumber air permukaan seperti risiko perubahan iklim global dan kepesatan pembangunan yang boleh menggugat kecukupan sumber air untuk kegunaan pelbagai sektor.

"Penggunaan air yang semakin banyak ini memerlukan kerajaan mencari sumber air alternatif untuk mengurangkan kebergantungan penggunaan air permukaan. Sewajarnya potensi air bawah tanah dikaji sebaiknya untuk dijadikan sumber baharu air negara," katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri Sembilan Tahun 2022 di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dengan ancaman terhadap sumber air permukaan, sumber air bawah tanah boleh dibangunkan sebagai satu sumber alternatif.

"Sebagai contoh semasa bencana banjir yang melanda di negeri ini pada Disember tahun lepas menyebabkan bekalan air bersih di Kampung Puom, Daerah Jelebu telah terjejas.

"Difahamkan melalui telaga iaitu sumber air bawah tanah yang terdapat di Masjid Kariah Kampung Puom itu telah dimanfaatkan penduduk setempat untuk mendapat bekalan air," katanya.

Justeru, Aminuddin berkata menerusi simpanan sumber air bawah tanah yang banyak itu dilihat boleh dimanfaatkan oleh kerajaan kelak dalam usaha menangani masalah bekalan air bersih terutama apabila berlaku musim kemarau, banjir atau pencemaran sungai yang tidak dapat dijangka.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata,simpanan air bawah tanah di negara ini mencecah 5,000 bilion meter padu yang boleh dimanfaatkan namun hanya tiga peratus sahaja yang di abstrak untuk pelbagai kegunaan.

"Sehingga Disember tahun lepas, terdapat 461 buah telaga telah direkodkan di negeri ini. Namun hanya 164 buah telaga yang masih aktif digunakan untuk tujuan domestik, pertanian, industri dan lain-lain," katanya.

Bercakap mengenai program sambutan itu, Aminuddin berkata, pelbagai aktiviti telah diadakan termasuk pertandingan kuiz dan pameran dari agensi berkaitan bagi memberikan kefahaman serta kesedaran kepada orang awam terutama fungsi-fungsi agensi terbabit dalam menguruskan air secara bersepadu.

Pada majlis itu, Aminuddin turut melancarkan Buku 'Coffee Table' bertajuk 'Melestarikan Sungai Anugerah Berharga' yang mengandungi maklumat jaringan sungai telah didaftarkan di seluruh Negeri Sembilan serta video pembelajaran bertajuk 'Alamat Sungai'.

Katanya, bahan bacaan dan tontonan video tersebut dapat memberikan pengetahuan kepada orang awam mengenai sungai-sungai berhampiran rumah mereka sekali gus mengetahui kesan daripada aktiviti-aktiviti yang dilakukan di rumah mereka kepada sungai.

Tamat.