Kerajaan negeri di Semenanjung digesa tingkat kawasan berhutan
LIPIS - Semua kerajaan negeri di Semenanjung Malaysia perlu meningkatkan kawasan berhutan sedia ada yang kini hanya pada tahap 43.41 peratus, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Beliau berkata, langkah itu perlu dilaksanakan berikutan Rancangan Fizikal Negara Keempat menyasarkan 50 peratus kawasan berhutan di Semenanjung Malaysia menjelang 2040.
"Sasaran ini merupakan pencetus perubahan dalam memperkukuh usaha pemeliharaan dan pemuliharaan kawasan berhutan di negara ini," katanya berucap pada Majlis Sambutan Hari Hutan Antarabangsa Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 bertemakan Hutan Untuk Kesejahteraan Masyarakat di sini pada Sabtu.
Majlis berkenaan disempurnakan oleh Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Hadir sama, Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad merangkap Ahli Parlimen Lipis serta Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Zurinah Pawanteh.
Selain itu, Takiyuddin berkata, kerajaan Persekutuan telah menyediakan insentif kewangan iaitu Pemindahan Fiskal Ekologi untuk Pemuliharaan Biodiversiti bagi membantu kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih proaktif dalam memelihara dan memulihara kepelbagaian biologi dan kawasan perlindungan."Kerajaan negeri digalakkan untuk memohon geran di bawah Tabung Amanah Konservasi Sumber Asli (NCTF) di bawah kementerian saya bagi merancakkan lagi aktiviti penyelidikan dan konservasi," katanya.
Mengenai Kempen Penanaman 100 Juta Pokok, Takiyuddin memaklumkan sehingga hari ini sebanyak 27.87 juta pokok telah berjaya ditanam di seluruh negara.
Sehubungan itu, beliau mempelawa semua pihak terus melipatgandakan usaha bagi menjayakan agenda nasional dengan sasaran penanaman 100 juta pokok menjelang 2025.
"Saya juga menyeru supaya lebih banyak persatuan komuniti, badan bukan kerajaan dan pihak swasta untuk bersama-sama terlibat dan memainkan peranan yang lebih aktif kerana insentif pengecualian cukai telah disediakan untuk sumbangan kepada konservasi dan penghijauan Malaysia," katanya.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam ucapannya berkata, Pahang mempunyai hutan simpan kekal berkeluasan 1.6 juta hektar manakala kawasan berhutan negeri seluas 2.04 juta hektar yang mewakili 57 peratus keluasan Pahang iaitu 3.6 juta hektar.
Katanya, keluasan tersebut menobatkan Pahang sebagai penyumbang terbesar kawasan berhutan dalam kalangan negeri di Semenanjung. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!