Projek naik taraf terminal feri di Pulau Pinang siap menjelang Ogos

Terminal Pangkalan Raja Tun Uda yang terletak di Georgetown.
Terminal Pangkalan Raja Tun Uda yang terletak di Georgetown.
A
A
A

BUTTERWORTH - Projek menaik taraf dua terminal feri di Pulau Pinang yang mempunyai kemudahan setaraf lapangan terbang dan memenuhi keperluan orang kurang upaya (OKU) dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (SPPP), Datuk Tan Teik Cheng berkata, ketika ini proses naik taraf terminal feri Pangkalan Sultan Abdul Halim di sini dan Pangkalan Raja Tun Uda di Georgetown dekat sini telah siap lebih 60 peratus iaitu 1.24 peratus lebih awal daripada jadual asal.

"Kedua-dua terminal feri mempunyai anggaran keluasan 400 meter persegi.

"Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan proses menaik taraf yang sudah capai lebih 60 peratus. Kita jangka setiap terminal yang mampu menampung 300 orang pada satu-satu masa itu boleh beroperasi sebelum Hari Kebangsaan nanti," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di dua terminal itu pada Sabtu.

Projek naik taraf sejak tahun lepas itu antaranya bertujuan memudahkan pejalan kaki, pengguna motosikal serta basikal menggunakan perkhidmatan feri pada masa hadapan.

Teik Cheng berkata, apabila siap kelak, kedua-dua terminal itu akan dilengkapi kemudahan serba moden dan lengkap termasuk reka bentuk universal bagi memenuhi keperluan OKU.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memperincikan jumlah peruntukan atau kos perbelanjaan bagi menaik taraf kedua-dua terminal tersebut kerana ia di bawah projek Penang Port Sdn Bhd (PPSB) dan ia akan diumumkan kemudian oleh PPSB.

Katanya, pada tahun hadapan lima feri baharu bernilai RM30 juta yang diperuntuk kerajaan pusat akan digunakan di kedua-dua terminal tersebut bagi memudahkan pejalan kaki, motosikal serta basikal berulang-alik dari tanah besar ke bahagian pulau serta sebaliknya.

"Berdasarkan unjuran ramalan, pada 2023 akan mencatatkan sejumlah 1,643,919 penumpang menggunakan perkhidmatan feri dan akan meningkat kepada 1,685,430 orang menjelang 2028," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, basikal dan motosikal pula akan mencatatkan penggunaan antara 680,000 hingga 711,000 buah pada tahun hadapan dan pada 2028 jumlah pengendalian kenderaan dua roda tersebut dijangka terus kekal. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!