Perak buat kajian terperinci berhubung kemiskinan haid
PARIT - Kerajaan Negeri Perak akan menjalankan kajian berkaitan kemiskinan haid dalam kalangan penduduk B40 di negeri ini khususnya melibatkan wanita dan remaja Orang Asli yang secara amnya tinggal di kawasan pedalaman.
Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan Masyarakat Perak Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, ia bagi mengenal pasti data spesifik termasuk peratus kemiskinan haid sekali gus memudahkan kerajaan negeri menambah baik bantuan yang diperlukan dan membantu menyelesaikan masalah dihadapi mereka.
"Masalah kemiskinan haid di perkampungan Orang Asli antaranya disebabkan kesukaran mendapatkan produk sanitari kerana tempat tinggal terletak jauh dari kedai dan sebagainya.
"Contohnya di perkampungan Suak Padi di sini, mereka tidak menghadapi masalah air bersih tetapi mungkin masalah keperluan untuk mendapatkan produk itu semasa kecemasan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia di Kampung Orang Asli Suak Padi di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Parit Datuk Mohd Nizar Zakaria yang juga Pengerusi Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).
Menurutnya, terdapat kesedaran mengenai haid dalam kalangan masyarakat Orang Asli, namun ada segelintir yang masih kurang pendedahan dari segi pengurusan dan kebersihan.
Beliau berkata, kajian dijalankan melibatkan seramai 2,000 wanita dan remaja perempuan bagi mendapatkan data yang tepat mengenai perincian kemiskinan haid dalam kalangan golongan B40 di Perak secara keseluruhan termasuk punca, masalah dan kesan dihadapi mereka akibat masalah berkenaan.
Dr Wan Norashikin berkata, selain kesukaran mendapatkan produk sanitari disebabkan lokasi yang jauh, masalah kewangan didapati merupakan antara punca utama kemiskinan golongan itu di negeri ini.
Terdahulu, beliau menyampaikan Kit Dana Kasih yang mengandungi lampin pakai buang bayi, barangan mandian bayi serta produk penjagaan dalam pantang kepada 50 keluarga yang baru menimang cahaya mata serta menyampaikan Kit Sanitasi Wanita Negeri Perak (PROKiS).
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif sebagai inisiatif dalam membantu kesejahteraan wanita seterusnya Keluarga Malaysia menerusi Program Jelajah Kasih Keluarga Malaysia dengan penyerahan bantuan barangan keperluan dan pemeriksaan kesihatan kepada penduduk.
Program sehari itu turut diselangi dengan ceramah Subsidi Mamogram dan Ujian Saringan Kanser Serviks (HPV DNA), ceramah pengurusan tekanan dan emosi keluarga serta ceramah pendidikan kesihatan reproduktif dan pengurusan haid.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!