Saya kasihan dengan pemain: Yusri

Yusri (kiri) tenang menghadapi dugaan yang berlaku di kem Perak FC ketika ini. -Foto PERAK FC
Yusri (kiri) tenang menghadapi dugaan yang berlaku di kem Perak FC ketika ini. -Foto PERAK FC
A
A
A

BAGAIKAN sudah jatuh di timpa tangga. Itu perumpamaan yang sesuai digambarkan dengan situasi semasa yang melanda Perak FC ketika ini.

Selepas tidak dapat mendaftarkan pemain baharu bagi menghadapi awal kempen Liga Premier musim ini, kini bilangan pemain dalam skuad The Bos Gaurus tampak semakin mengecil.

Daripada senarai 20 pemain yang didaftarkan musim ini, pengendali Perak FC, Yusri Che Lah hanya mampu menagih khidmat 17 pemain yang cetek pengalaman termasuk tiga penjaga gol.

Lebih parah, masalah kewangan yang menghimpit Perak FC sejak beberapa bulan lalu seakan-akan tiada penghujung sehingga memberi impak terhadap prestasi anak-anak buah Yusri.

Sekalipun terkilan dengan krisis dalaman yang melanda Perak FC, Yusri meluahkan beliau tidak sanggup meninggalkan barisan pemain mudanya dalam situasi genting tersebut.

“Sepanjang karier saya sebagai jurulatih, situasi ini paling mencabar kerana pertama kali mempunyai pemain yang begitu terhad selain pemain berkenaan pada awalnya tidak berada dalam perancangan saya.

“Saya tak pasti sampai bila akan berdepan dengan situasi sebegini. Tapi saya tidak sesekali menyesal membimbing pasukan ini walaupun tertekan, mungkin saya akan terus bertahan ataupun sebaliknya.

“Jika saya tidak mampu lagi membimbing pasukan ini, jalan keluar (meletak jawatan) mungkin adalah lebih baik... tapi sejujurnya saya kasihan dengan pemain,” katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Sebelum itu, Yusri terpaksa menelan keperitan apabila Perak FC mengalami kekalahan kedua dalam aksi Liga Premier selepas tewas 0-3 kepada Terengganu FC II (TFC II) di Stadium Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

“Kita bersyukur dengan apa juga keputusan yang kita capai. Walaupun sudah dua kali tewas tetapi kita telah melakukan apa yang termampu dengan pemain-pemain sedia ada.

“Rasanya peminat faham situasi pasukan ketika ini apabila kita mengalami masalah kekurangan pemain yang mana hanya 15 pemain boleh didaftar untuk perlawanan malam ini,” jelasnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!