Anggota IPD Sepang maut kemalangan tiga kenderaan

Seorang anggota polis dari IPD Sepang maut akibat kecederaan di kepala dalam kemalangan di Jalan Baru Dengkil-Kota Warisan pada Jumaat.
Seorang anggota polis dari IPD Sepang maut akibat kecederaan di kepala dalam kemalangan di Jalan Baru Dengkil-Kota Warisan pada Jumaat.
A
A
A

SERDANG - Seorang anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang maut selepas motosikal ditunggangnya merempuh sebuah lori yang sedang berhenti di bahu jalan di Jalan Baru Dengkil-Kota Warisan di sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, pihaknya menerima panggilan melaporkan kemalangan melibatkan dua buah motosikal dan sebuah lori terbabit pada jam 8.50 malam.

Menurutnya, semasa kejadian permukaan jalan lurus dan rata manakala cuaca dalam keadaan baik namun keadaan laluan gelap berikutan tiada lampu jalan.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC135 dan dari arah Kota Warisan menghala ke Dengkil telah terlanggar bahagian belakang sebelah kanan sebuah lori yang di parkir di tepi jalan dipercayai mengalami kerosakan.

"Akibat pelanggaran tersebut mangsa telah tercampak ke atas jalan raya manakala seorang lelaki yang menunggang motosikal Honda EX5 dari arah sama yang tidak sempat mengelak telah melanggar motosikal milik mangsa dan jatuh ke atas jalan," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, mangsa yang berusia 39 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah di bahagian kepala.

"Penunggang Honda EX5 berusia 34 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian mulut serta hidung dan dibawa ke Hospital Putrajaya untuk menerima rawatan.

"Pemandu lori terbabit yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 53 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Anbalagan berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!