Pemuisi harus bangkit selamatkan negara
KUALA LUMPUR - Pemuisi harus bangkit menyelamatkan negara dengan melahirkan karya yang boleh memberi kesedaran dan mengangkat semula nilai moral bangsa Malaysia, kata Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf, Datuk Dr Hussamuddin Yaacub.
Beliau berkata, ini kerana keruntuhan moral masyarakat Malaysia kini berada pada tahap yang parah.
“Kita kena palu gendang perang, kalau tengok zaman dulu semasa perang melawan Belanda, bagaimana puisi digunakan oleh Wali Songo untuk menimbulkan semangat.
“Maknanya, kita kena bangkitkan kembali kesedaran bangsa Malaysia tentang sistem nilai yang sudah runtuh. Pemuisi kena lahirkan sajak yang boleh membakar semangat sama seperti sewaktu negara menuntut kemerdekaan.
“Ini bukan kebetulan, sebaliknya ia adalah aturan ALLAH SWT untuk orang seperti saya datang dan bercakap dengan pemuisi hari ini untuk ubah rentak menjadi puisi (berkonsepkan) perang terhadap nilai moral bangsa yang rendah,” katanya ketika merasmikan program Baca Puisi Bulanan Pemuisi di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada Sabtu.
Program siri ketiga anjuran Persatuan Pemuisi Nasional Malaysia (Pemuisi) dengan kerjasama DBP itu turut menyaksikan pelancaran Buku Antologi Puisi Artistik ‘Pohon Merdeka’ yang memuatkan sebanyak 45 puisi karya 45 pemuisi baharu dan lama.
Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, ALLAH SWT telah menyediakan al-Quran, hadis dan sunnah kepada umat Islam sebagai panduan nilai kehidupan.
“Sebagai umat Islam, kita tahu al-Quran adalah manual, manakala agama Islam adalah panduan hidup dan cara untuk mempersiapkan diri ke arah kematian.
“Tetapi kerana ramai orang Islam tidak faham, jadi nilai yang ada dalam al-Quran tidak menjadi sistem operasi hingga menyebabkan seseorang itu tidak akan rasa bersalah apabila menipu, mencuri dan tidak ada rasa tanggungjawab.
“Sebab itulah saya mulakan gerakan mengQurankan bangsa mengikhlaskan ummah untuk kita ubah cara beragama, maknanya kena faham manual agama, baca dengan kefahaman supaya kita ada minda dan karakter al-Quran agar nilainya dijadikan pegangan hidup,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden Pemuisi, Datuk Dr Radzuan Ibrahim berkata, Pemuisi turut menyokong usaha menjadikan puisi sebagai satu platform untuk memberi kesedaran kepada rakyat.
“Kita gunakan puisi yang terlahir daripada bahasa yang puitis untuk menyedarkan rakyat terutamanya tentang nilai-nilai kehidupan dan keadaan semasa,” katanya.
Radzuan dalam masa sama turut berharap agar tema dan penceritaan yang hendak disampaikan melalui antologi Pohon Merdeka dapat dihayati oleh rakyat terutamanya peminat puisi tentang makna dan juga secara artistik.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!