Sindiket seludup ganja dari Thailand untuk pasaran Selangor, Johor
SHAH ALAM - Kegiatan sindiket yang dipercayai baru mula 'berjinak' dengan penyeludupan dadah jenis ganja dari Thailand sejak Januari lalu akhirnya kecundang selepas digempur polis di sekitar Selangor pada Khamis lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, empat serbuan berasingan bermula jam 4.40 petang oleh sepasukan JSJN Bukit Aman dan JSJN Selangor itu berjaya menahan empat lelaki.
Menurutnya, hasil serbuan di sekitar Subang Jaya, Rawang dan Semenyih itu menemui dadah disyaki ganja seberat 1.33 tan yang dianggarkan bernilai RM3.33 juta.
"Semakan mendapati seorang daripada suspek adalah ahli perniagaan, dua penganggur dan seorang lagi adalah despatch (penghantar barang).
"Modus operandi sindiket yang dipercayai aktif sejak pertengahan Januari ini adalah membawa masuk bekalan dadah dari negara Thailand untuk pasaran di Selangor dan Johor," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Ahad.
Beliau berkata, siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti siapa dalang yang terlibat dan JSJN akan terus menyiasat bagi mengesan saki-baki ahli sindiket yang masih bebas.
Katanya, sekiranya dadah-dadah ini terlepas, ia boleh digunakan oleh 2.5 juta penagih dadah.
"Kesemua suspek berusia lingkungan 23 hingga 46 tahun kini direman tujuh hari sehingga 31 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 selain tindakan pelbagai aset sindiket bernilai RM331,900 di bawah ADB (Pelucuthakan Harta) 1988," ujarnya.
Justeru, Ayob Khan menyeru masyarakat untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan kegiatan pengedaran dadah di talian Hotline JSJN 012-2087222.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!