'Tiada tolak ansur jika terjebak dadah'
SHAH ALAM - Polis tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana individu tanpa mengira latar belakang sekiranya dikesan terlibat dengan kesalahan dadah.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menegaskan, mereka akan disiasat dan kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC).
"Polis tidak akan tolak ansur dengan mana-mana individu yang terlibat dadah tidak kira latar belakang sama ada ustaz, penjawat awam atau orang politik.
"Kita akan tangkap, buka kertas siasatan dan hantar ke AGC untuk tindakan lanjut," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor pada Ahad.
Beliau berkata demikian ketika mengulas penahanan seorang bekas penyanyi nasyid dan komposer berusia 47 tahun bersama 17 pasu pokok ganja yang dipercayai ditanam sejak dua bulan lalu di kediamannya di Kota Damansara, Petaling Jaya
Katanya lagi, JSJN tiada skuad khas untuk memantau pembabitan artis dalam kegiatan dadah sebaliknya pemantauan tetap dilakukan tanpa mengira status.
Khamis lalu, seorang penyanyi nasyid ditahan kerana disyaki terlibat kes berkaitan dadah di sebuah kondominium di Kota Damansara,
Penyanyi berkenaan juga dikatakan menanam pokok ganja untuk kegunaan sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!