Graduan ejen pembangunan, pencapaian wawasan negeri dan negara
BALING - Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah mahu graduan institusi pengajian tinggi di negeri ini memainkan peranan penting sebagai ejen perubahan kepada pembangunan dan pencapaian wawasan negeri Kedah dan negara.
Baginda bertitah, dalam membangunkan persekitaran sosioekonomi yang holistik, para graduan diharapkan dapat memberi sumbangan yang signifikan dalam membentuk modal insan cemerlang.
"Graduan yang berkualiti seharusnya mampu untuk memperkasakan pelbagai bidang kemahiran yang relevan selaras dengan kehendak industri serta berani menyahut cabaran dalam menceburi bidang keusahawanan.
"Gunakanlah ilmu yang dimiliki dengan bijak untuk membangunkan masyarakat dan negara. Ilmu merupakan suatu harta yang sangat bernilai kerana hanya dengan ilmu sahajalah mampu menaikkan taraf seseorang individu, masyarakat dan negara,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian secara maya pada Istiadat Konvokesyen Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS) ke-23 di Kuala Ketil dekat sini hari ini.
Dalam pada itu, Sultan Sallehuddin yang juga Canselor UniSHAMS menzahirkan rasa syukur kerana dalam situasi pandemik Covid-19, universiti itu tetap cekal meneruskan pengajaran dan pembelajaran meskipun secara dalam talian.
Baginda bertitah, usaha dan komitmen UniSHAMS itu telah berjaya melahirkan seramai 1,287 graduan dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian pada istiadat konvokesyen kali ini.
"Sesungguhnya kejayaan para graduan ini menjadi kebanggaan kepada pada ibu bapa, keluarga, seluruh warga UniSHAMS dan negeri Kedah,” titah baginda.
Sultan Sallehuddin turut menekankan bahawa infrastruktur yang berkualiti dan mencukupi di universiti amat penting bagi menjadikan pembelajaran lebih menarik dan menyeronokkan.
Justeru, baginda mahu UniSHAMS terus memastikan infrastruktur sedia ada diperkukuh. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!