Perak yakin tarik kembali khidmat pemandu pelancong
IPOH - Kerajaan Perak yakin dapat menarik semula pemandu pelancong dari negeri ini untuk kembali berkhidmat di negeri sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Tan Kar Hing berkata menerusi pelbagai program diatur kerajaan negeri ketika ini, ia mampu membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan berkenaan.
"Melalui program telah dilaksana dan bakal dijalankan kerajaan negeri, kita yakin dapat menarik balik mereka yang berhijrah untuk pulang semula berkhidmat di Perak.
"Sebagai contoh, pada masa akan datang ada perkhidmatan bas persiaran dua tingkat, Hop-On Hop Off, kita perlukan sekurang-kurangnya tiga pemandu pelancong sehari, selain Heritage Trail dan pelbagai program lagi yang akan buka banyak peluang pekerjaan untuk mereka," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada majlis makan malam Majlis Pemandu-Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Tan berkata di Perak terdapat kira-kira 300 pemandu pelancong yang berdaftar, namun lebih separuh daripada angka itu berhijrah ke negeri lain bagi mencari pendapatan.
"Ini kerana kurangnya ejen pelancongan serta pelancong tidak melihat Perak atau Ipoh sebagai destinasi percutian, namun keadaan ini akan berubah menjadi lebih baik," katanya.
Dalam pada itu, Presiden MTGC Jimmy Leong Wie Kong berkata keperluan mempunyai pemandu pelancong di setiap negeri amat mustahak kerana mereka adalah barisan hadapan yang mempromosi negeri masing-masing.
"Pemandu pelancong ini umpama tuan rumah jika mereka tiada bagai tetamu datang tanpa tuan rumah, mereka inilah yang membantu mempromosi negeri dengan memberi perincian menarik tentang sesuatu lokasi.
"Ditambah lagi, Perak ini produk pelancongannya seimbang ada warisan, kebudayaan dan tempat yang menarik seperti Taiping, cuma bagaimana nak pasarkan produk dengan betul yang perlu diberikan penekanan," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!